KUALA LUMPUR – Pelakon, Adam Corrie Lee berkata, sebagai seorang anak dia tetap berada di sisi mendiang ibu sehingga ke akhir hayatnya sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang.
Adam, 56, berkata, sebagai seorang Muslim, dia tetap menjaga batas agar tidak melanggar syariat.
“Kerana Islam tidak pernah memutuskan hubungan kekeluargaan. Tambahan pula, ini ibu yang melahirkan kita.Pagi tadi selesai urusan di hospital, kini mendiang ibu dibawa ke temple untuk sanak saudara memberi penghormatan terakhir, sebelum disemadikan pada hari Rabu ini,” tulis di Facebook miliknya semalam.
Sabtu lalu, Adam berkongsi khabar duka pemergian ibu dengan memuat foto bersama mendiang yang meninggal dunia pada usia 84 tahun.
“Dengan hati yang berat, saya Adam Corrie memaklumkan bahawa ibu tercinta saya telah pergi buat selama-lamanya,” titipnya.
Terdahulu, Adam memaklumkan beberapa tahun kebelakangan ini, ibunya semakin uzur.
Dia memiliki 10 orang adik beradik termasuk seorang lagi yang juga bergelar saudara baharu. – MalaysiaGazette
















