ALOR GAJAH – Seorang kelindan lori maut selepas tersepit dalam nahas membabitkan sebuah lori dan treler di Kilometer 221.7 Lebuhraya PLUS, arah utara dari Pedas Linggi menuju Simpang Ampat, di sini awal pagi tadi
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 pagi melibatkan mangsa lelaki berusia 43 tahun.

Menurutnya, sebaik pasukan operasi diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Nazri Mat Rais dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) tiba mendapati, sebuah lori dipercayai melanggar bahagian belakang treler di hadapannya.
“Seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian kelindan dan operasi menyelamat segera dijalankan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa berusia 43 tahun bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, operasi disertai sembilan anggota dengan sebuah jentera bomba dan unit EMRS, selain bantuan daripada KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kerja-kerja penyelamatan selesai tanpa sebarang risiko kemerbahayaan lain dan operasi ditamatkan pada jam 5.29 pagi,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















