JOHOR BAHRU – Seorang pegawai yang bertugas di kaunter MyBorderPass, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini direman selama empat hari bagi siasatan lanjut selepas disyaki melakukan aktiviti pasport terbang atau flying passport.
Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) BSI dalam satu kenyataan memberitahu, pegawai berkenaan ditangkap semalam semasa pemantauan dilakukan Dewan Penumpang Masuk BSI pada pukul 11.30 pagi.
“Sepasukan pegawai dari Unit Integriti AKPS BSI melakukan pemantauan itu dan hasil pemeriksaan mendapati pegawai tersebut telah gagal mematuhi Arahan Pentadbiran Bil.01 Tahun 2024 iaitu Tatacara dan Prosedur Membawa, Menyimpan Atau Menggunakan Alat Telekomunikasi Semasa Waktu Bertugas.
“Dia mengaku membawa dan menyimpan dua unit telefon bimbit semasa bertugas serta tidak membuat tindakan serah terima telefon bimbit di kaunter penyelia sebelum bertugas,” maklum kenyataan tersebut hari ini.
Menurut AKPS BSI, pegawai terbabit dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut setelah tidak dapat memberi penjelasan terhadap ketidakpatuhan arahan menyimpan telefon bimbit sebelum bertugas.
Hasil siasatan itu kemudian menemukan lapan naskhah pasport warga asing iaitu enam pasport China, satu pasport Indonesia dan satu pasport Vietnam dalam sebuah beg berwarna hitam disimpan di ruang penyimpanan barang motosikal jenis Honda Vario milik pegawai tersebut yang diparkir dalam kawasan bangunan BSI.
Pegawai tersebut telah ditangkap dan ditahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana tanpa kuasa sah ada dalam milikannya mana-mana pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang, selain dirinya sendiri.
Turut dirampas dan disita adalah sebuah motosikal, lapan naskah pasport yang ditemui dan dua unit telefon bimbit milik pegawai berkenaan.
AKPS mengingatkan pegawai-pegawai yang bertugas di mana-mana pintu masuk agar mematuhi arahan integriti jabatan.
“AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang ingkar perintah serta menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas seperti ini akan diteruskan sebagai sebahagian di antara komitmen AKPS dalam memperkukuhkan kawalan pintu masuk negara,” kata kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette

















Masih ada lagi pengkhianat negara walaupun tindakan demi tindakan dilakukan oleh pihak AKPS..Sudah sampai masanya pegawai di penjarakan terus dan kalau boleh KDN hidupkan kembali penjara PULAU JERJAK khas untuk pegawai dan kakitangan kerajaan yg terlibat dgn rasuah /pengkhianat negara.
Kagum dgn ketegasan komen anda, sangat wajar dipertimbangkan.. Setelah wujud AKPS yg diketuai oleh Dato Suhaily berfungsi dgn baik, cekap dan terus giat melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan pun masih ada penjawat awam berani terus dgn aktiviti khianat ini…
Siasatan drpd kes2 tangkapan sblm ini sepatutnya sudah menjurus kpd perolehan maklumat keseluruhan modus operandi dan regim yg terlibat dlm sindiket ini..
Harap pihak berkuasa dapat membongkar dan boleh ambil tindakan kpd organisasi ini, besar kemungkinan melibatkan pangkalan2 dan individu2 di luar negara..
Apa pun kena cari pulau lain.. Pulau Jerjak sedang dibangunkan…
Aku cadangkan buat kat artificial island di Marina Island, Pangkor pasal parking kat situ mahal bro…
Ha.. Ha..