KOTA KINABALU – Seramai 34 pelajar tahun akhir Program Kimia Industri, bersama pensyarah, Prof. Madya Dr. Mohd Sani Sarjadi, mengadakan lawatan akademik ke Kilang Kopi Yit Foh, Tenom baru-baru ini.
Lawatan itu bertujuan memperkukuh pembelajaran, pendedahan industri dan melihat sendiri operasi industri tempatan serta memahami pelaksanaan Good Manufacturing Practice (amalan baik pengilangan, GMP) secara langsung.
Melalui sesi taklimat dan lawatan ke kawasan pemprosesan, pelajar didedahkan kepada pengurusan bahan mentah, kebersihan peralatan, kawalan suhu penaikan biji kopi, sistem dokumentasi, penggredan produk dan proses pembungkusan.
Menurut Dr. Mohd Sani, pengalaman industri amat penting dalam membentuk kefahaman holistik pelajar mengenai keselamatan makanan.
“Pelajar perlu melihat, menilai dan memahami bagaimana setiap keputusan dalam proses pengeluaran memberi kesan kepada kualiti dan keselamatan makanan.
“Inilah nilai tambah yang menjadikan mereka bersedia menghadapi dunia pekerjaan,” ujar beliau.
Dr. Mohd Sani berkata, selain memberi pendedahan praktikal, lawatan tersebut turut menekankan bahawa pelaksanaan GMP membawa pelbagai manfaat kepada industri
makanan.
“Ia termasuk mengurangkan pembaziran, meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh reputasi jenama serta meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap produk tempatan.
“Lawatan akademik ini membuktikan bahawa pembelajaran berasaskan pengalaman mampu menghubungkan teori dengan realiti industri.
“Pemahaman dan komitmen terhadap GMP bukan sahaja penting dalam melindungi kesihatan pengguna, malah menjadi asas kepada kemajuan dan daya saing industri
makanan negara,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette















