KUANTAN – Penekanan terhadap pengukuhan integriti dan amalan tadbir urus baik dalam agensi penguat kuasa terus diberi perhatian bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, pembanterasan rasuah memerlukan keterlibatan menyeluruh semua pihak dan tidak boleh digalas oleh satu agensi semata-mata.
“Sokongan bersepadu antara agensi amat penting bagi membina perkhidmatan awam yang berintegriti, berakauntabiliti dan bebas rasuah,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah JIM Pahang, Nursafariza Ihsan menegaskan komitmen penuh jabatan itu untuk menjadi rakan strategik SPRM dalam menyemarakkan agenda antirasuah serta pembudayaan integriti di semua peringkat organisasi.
“Pelaksanaan program pendidikan antirasuah, latihan integriti dan inisiatif bersama yang lebih holistik perlu diperkasakan bagi mewujudkan ekosistem kerja yang telus dan bebas rasuah,” katanya.
Dalam kunjungan itu, kedua-dua agensi itu turut membincangkan pelbagai perkara termasuk pelaksanaan latihan integriti serta potensi kerjasama operasi penguatkuasaan pada masa hadapan.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Pahang, Mohd Zamani Zainol. – MalaysiaGazette















