Dr. Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR – Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan lahir daripada sistem pendidikan negara, malah kurikulumnya juga bukan kurikulum kebangsaan.

Oleh itu, tidak ada keperluan untuk kerajaan mengiktiraf peperiksaan tersebut.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr. Anuar Ahmad menegaskan, sejak tahun 1975, Tun Dr. Mahathir ketika itu Menteri Pelajaran telah pun membenarkan UEC dilaksanakan di sekolah swasta di negara ini.

Dan, pada 2012, ketika Datuk Seri Mohd Najib sebagai Menteri Pendidikan, UEC telah mendapat pengiktirafan separa/bersyarat bagi tujuan pengambilan guru pelatih ke instutut pendidikan guru (IPG) bagi bidang bahasa Cina sahaja.

“Nampaknya, bila sudah dibenarkan UEC beroperasi di negara ini (1975) dan diberikan pengiktirafan bersyarat (2012), sekarang dituntut pula supaya diiktiraf UEC sepenuhnya sepertimana persijilan SPM dan STPM.

“Agaknya apa peribahasa Melayu yang sesuai untuk menggambarkan situasi begini?,” soal Anuar.

Media melaporkan kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang mahu mengadakan pertemuan dengan perdana menteri bagi membincangkan isu pengiktirafan UEC.

Kor Ming juga mengulang pendirian DAP dalam usaha tersebut dan meminta masyarakat Cina supaya bersabar dan jangan khuatir.

Menurutnya, DAP telah mendengar suara masyarakat Cina dan akan menyemak diri secara rendah hati supaya negara terus maju.

Anuar berkata, sebagai rakyat Malaysia, sepatutnya kita semua tanpa mengira kaum mesti menyokong dan memajukan sistem pendidikan kebangsaan.

“Kalau ada kekurangan, sama-sama kita tegur. Kita kritik. Tetapi bukan niat meruntuhkan. Niatnya untuk sama-sama kita bangunkan,” ujar beliau.

Tegas beliau, para pemimpin Malaysia untuk masa depan sepatutnya berjiwa besar, dan menunjukkan sifat patriotik dengan memperkasa sistem pendidikan kebangsaan (SK dan SJK) dan bukan terus menerus memecahbelahkan sistem pendidikan kepada lebih banyak aliran dan persijilan pendidikan.

Apatah lagi, Malaysia negara tunggal di dunia yang bersetuju supaya sekolah vernakular diterima sebagai ‘sekolah aliran kebangsaan’.

“Tidak ada negara lain yang buat seperti ini,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

DAP akan berjumpa PM mohon pengiktirafan UEC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast