ISKANDAR PUTERI – Pengendali Shanghai Port FC, Kevin Muscat menyifatkan satu mata yang diraih hasil terikat tanpa jaringan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi ternyata memiliki nilai yang besar buat skuad kendaliannya itu.
Menurut Kevin, satu mata itu ternyata cukup berharga setelah pasukannya bergelut dengan pelbagai isu kecederaan dan masalah kesihatan pemain menjelang aksi berdepan skuad Harimau Selatan itu.
“Sebelum sepak mula, skuad ini tidak ideal tapi aksi yang dipamerkan pemain di atas padang membuktikan semangat juang pasukan masih utuh.
“Ramai pemain kami sakit, ada yang cedera sebelum dan ketika perlawanan, dan beberapa lagi tidak dapat diturunkan.
“Bagaimanapun, dalam keadaan serba kekurangan ini, mereka telah tampil sebagai satu pasukan yang berjuang habis-habisan dan saya bangga dengan mereka,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di sini malam tadi.
Beliau turut berpuas hati dengan aksi penjaga gol skuad The Red Eagle itu, Chen Wei, yang diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan apabila mempamerkan aksi mantap dan berkualiti tinggi.
“Chen Wei beraksi cemerlang. JDT memang mencipta lebih banyak peluang, tetapi saya tetap gembira dengan cara kami menutup ruang dan kekal fokus sehingga tamat permainan,” katanya.
Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Chen Wei menjelaskan, aksi cemerlangnya bukan hasil keyakinan semata-mata, sebaliknya terhasil daripada latihan intensif yang dilalui setiap hari.
“Saya berterima kasih kepada jurulatih. Latihan kami sangat tinggi intensitinya dan ia membantu kami bermain pada tahap terbaik,” katanya.- MalaysiaGazette















