KUALA LUMPUR – Pengerusi Urimai, P Ramasamy menyifatkan amaran enam bulan yang diberikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan reformasi sebagai isyarat yang kabur dan tidak realistik.
Malah ia hanya memperlihatkan kelemahan kepimpinan parti itu.
Beliau mendakwa, kenyataan Anthony yang memberikan tempoh untuk melaksanakan reformasi tetapi pada masa sama berjanji DAP akan terus menyokong kerajaan menunjukkan percanggahan ketara dalam pendirian parti.
“Amaran ini tidak jelas. Jika enam bulan berlalu tanpa reformasi, tindakan apa yang DAP sanggup ambil? Anthony sendiri mengakui tempoh itu tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan
Menurutnya, sukar membayangkan DAP yang telah berada dalam kerajaan lebih tiga tahun bersedia kembali ke blok pembangkang atau hanya menyokong kerajaan dari luar.
Ramasamy turut menegaskan DAP tidak boleh mengenakan tekanan politik kepada kerajaan selagi parti itu sendiri tidak menunjukkan ketegasan dalaman.
Beliau mendakwa Anwar mempunyai pilihan politik lain sekiranya DAP menarik sokongan, termasuk kemungkinan menghidupkan kembali kerjasama antara UMNO dan PAS, sesuatu yang menurutnya mampu menyingkirkan DAP daripada struktur kuasa.
“DAP perlu sedar bahawa kerajaan boleh membuat susunan politik lain. Jika DAP diketepikan, parti itu mungkin merosot lebih cepat daripada dijangka,” ujarnya.
Mengulas kepimpinan DAP, Ramasamy mendakwa Anthony bukan tokoh yang memiliki kekuatan politik seperti pemimpin terdahulu, sebaliknya lebih bersifat birokrat yang cenderung kepada pelaksanaan dasar kerajaan.
Katanya, DAP kini tidak lagi dilihat sebagai parti lantang memperjuangkan reformasi, sebaliknya telah menjadi ‘bahagian kecil dalam jentera politik kerajaan Madani’.
Tambah bekas pemimpin DAP itu, reformasi bukan keutamaan kerajaan ketika ini dan kegagalan itu bukan sesuatu yang baru sebaliknya sudah dapat dilihat sejak beberapa tahun lalu.
Malah, katanya, DAP tidak berada dalam kedudukan moral untuk menuntut reformasi selagi isu kepimpinan dalam parti tidak diselesaikan.
“Jika parti mahu kekal relevan, perubahan dalaman sangat penting. Sama ada Anthony harus meletakkan jawatan atau digantikan, beliau kini menjadi beban kepada DAP,” dakwanya.
Jelasnya, DAP perlu kembali kepada asas perjuangan dan keberaniannya, bukan hanya bergantung kepada kuasa, jawatan dan kemudahan.
Beliau turut menyindir meskipun mempunyai 40 Ahli Parlimen dan lima menteri, DAP tetap dilihat patuh dalam kerajaan, sama seperti MCA dan MIC yang lemah akibat kekurangan kerusi. -MalaysiaGazette
















