Sumber: Jabatan Perangkawan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran kekal 3.0 peratus atau 518,900 orang pada Oktober 2025.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata,  pasaran buruh negara menunjukkan penambahbaikan berterusan pada Oktober 2025, didorong oleh aktiviti ekonomi yang rancak, dengan pertumbuhan guna tenaga yang kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah.

Sehubungan itu, tenaga buruh meneruskan momentum peningkatannya pada bulan tersebut, naik sebanyak 0.2 peratus bulan ke  bulan kepada 17.58 juta orang (September 2025: 17.54 juta orang).

Kadar penyertaan tenaga buruh Oktober kekal 70.9 peratus, seperti yang direkodkan pada September 2025.

Di samping itu, bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada Oktober 2025, merekodkan pertambahan 0.2 peratus kepada 17.06 juta orang daripada 17.03 juta orang yang dicatatkan bulan lalu.

Pada masa yang sama, bilangan penganggur naik sedikit iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 518,900 orang (September 2025: 518,600 orang).

Kadar pengangguran pada bulan tersebut tidak berubah iaitu pada 3.0 peratus, seperti bulan lalu.

“Walaupun cabaran global seperti ketidaktentuan perdagangan dan permintaan luaran yang perlahan mungkin memberi tekanan, namun pasaran buruh Malaysia dijangka kekal kompetitif, inklusif, dan stabil,” kata Mohd Uzir.

Menurut beliau, kategori pekerja merangkumi 74.8 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada Oktober 2025.

Kumpulan ini meningkat sedikit iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 12.76 juta orang, naik daripada 12.74 juta orang pada September 2025. Begitu juga, bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah 0.4 peratus kepada 3.25 juta orang, berbanding 3.24 juta orang pada September 2025.

Selain itu, guna tenaga dalam sektor perkhidmatan terus meningkat dengan stabil pada Oktober 2025, terutamanya didorong oleh aktiviti Penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong dan runcit; serta aktiviti maklumat dan komunikasi.

Begitu juga, sektor pertanian, pembuatan dan pembinaan turut merekodkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala guna tenaga dalam sektor perlombongan & pengkuarian mencatatkan penurunan.

Mohd Uzir Mahidin turut menjelaskan, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu terus menurun, susut sebanyak 1.4 peratus kepada 233, 200 orang pada Oktober 2025 (September 2025: 236,500 orang).

Sehubungan itu, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu serta mampu dan sanggup menerima tambahan jam atau diklasifikasikan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan masa juga berkurang 1.7 peratus kepada 126,400 orang, merekodkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa 0.7 peratus (September 2025: 128,600 orang; 0.8%).

Mengulas lebih lanjut mengenai situasi pengangguran bagi Oktober 2025, Mohd Uzir berkata, mereka yang bersedia untuk bekerja dan sedang aktif mencari pekerjaan, atau dirujuk sebagai penganggur aktif, merangkumi 79.7 peratus daripada jumlah penganggur.

Kategori ini mencatatkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.03 peratus, dengan bilangannya bertambah kepada 413, 800 orang berbanding 413, 600 orang pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun menurun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.1 peratus, dengan 398,500 penganggur belia (September 2025: 398,100 orang; 6.2%).

Bagi bilangan penduduk di luar tenaga buruh, bilangannya berada dalam trend peningkatan, naik sebanyak 0.1 peratus kepada 7.22 juta orang pada bulan tersebut, berbanding 7.21 juta orang pada September 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast