MUAR – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard menghentikan perjalanan hari ketiga dalam misi protes berjalan kaki dari Port Dickson menuju Mahkamah Johor Bahru kerana kaki melepuh teruk.
Beliau terpaksa berhenti dalam misi Protes Jalan Kaki – Demi Maruah Diri dan Kembalikan Perjuangan ke Tangan Rakyat iaitu perjalanan solo menuju Mahkamah Johor Bahru untuk sementara waktu.
“Bangun pagi tadi di rumah inap di Muar, bukan sahaja kaki malah badan sangat sakit, perjalanan sepatutnya mula 7 pagi tapi saya cuba kumpul kekuatan namun sehingga 11 pagi saya masih tak mampu.
“Saya cuba meneruskan tapi memang tak berdaya. Kaki melepoh makin parah dan otot makin keras,” katanya yang dikongsikan menerusi satu hantaran dalam Facebook hari ini.

Misi dan perjalanan solo tersebut adalah bagi menghadiri prosiding sambung bicara kes pendakwaan mengikut Akta Hasutan pada esok dan lusa.
Beliau berkata, rakan-rakan yang mengiringi perjalanan menasihatkan supaya terus ke Johor Bahru memandangkan kes mahkamah yang perlu dihadiri esok lebih penting.
“Saya mohon ampun dan maaf. Saya sudah tak larat. Sampai Johor Bahru rasanya mungkin perlu ke klinik,” ujarnya.
Beliau memulakan perjalanan dari Port Dickson pada Isnin sebelum menempuh perjalanan ke Melaka dan Batu Pahat.
Perjalanan hari ketiganya dijadualkan berakhir di Surau Parit Andin, Parit Yaani, Johor sekitar pukul 10.30 malam ini.
Chegubard didakwa atas pertuduhan membuat penerbitan menghasut dalam media sosial berhubung projek kasino di Forest City pada April lalu.- MalaysiaGazette
















