Datuk Seri Mohd Soffi Bin Tan Sri Abd. Razak

KUANTAN – Sebanyak 2.48 juta benih ikan dilepaskan di perairan darat Pahang sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu menjadikan sebanyak 20.8 juta ekor benih ikan telah dilepaskan ke perairan negeri ini sejak tahun 2010.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani Dan Bioteknologi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi  Abd. Razak berkata, spesies ikan utama yang dilepaskan ialah Kelah, Kerai, Temelian, Patin Buah, Tengalan, Sebarau, Baung Sungai, Lampam Sungai, Terbul dan Udang Galah.

”Program pelepasan benih ikan ini dapat memperkayakan sumber perikanan yang menjadi tempat mencari rezeki nelayan darat dan komuniti setempat.

“Para nelayan dan masyarakat setempat juga diharap dapat memanfaatkan kekayaan sumber perikanan darat dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, Yang Berhormat Haris Salleh pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.

Beliau berkata, tanggungjawab bersama perlu ada dalam diri semua pihak bagi menjamin kelestarian sumber perikanan darat.

Dalam perkembangan sama Mohd Soffi berkata, Jabatan Perikanan Negeri Pahang telah membangunkan kawasan santuari ikan untuk memastikan spesies ikan air tawar terpelihara dan diurus secara lestari.

Santuari ikan tersebut diurus tadbir oleh komuniti setempat dengan bimbingan Jabatan Perikanan Negeri Pahang.

”Terdapat enam santuari ikan yang telah dibangunkan di negeri ini – empat santuari ikan di daerah Lipis dan dua santuari ikan di Jerantut.

”Kejayaan pemuliharaan spesies ikan di kawasan santuari yang diwujudkan membolehkan populasi ikan bertambah di sungai-sungai dan kawasan perlindungan lain,” katanya.

Sementara itu Mohd Soffi memaklumkan, pendaratan perikanan darat di Pahang adalah  kedua tertinggi di Malaysia tetapi tertinggi dari segi nilai ikan-ikannya, secara tidak langsung meningkatkan pendapatan khususnya kepada nelayan darat negeri ini.

”Pendaratan perikanan darat di Pahang pada tahun 2024 adalah 2,218.20 tan metrik yang bernilai RM64.25 juta, berbanding pendaratan ikan pada tahun 2023 adalah 1,920.28 tan metrik yang bernilai RM53.49 juta.

”Kenaikan tersebut mewakili 15.5 peratus dari aspek kuantiti dan 20.1 peratus nilainya,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast