Anggota bomba bantu mengeluarkan kaki kanak-kanak yang tersangkut pada tong gas di BBP Pasir Gudang.

PASIR GUDANG- Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun berdepan detik cemas selepas apabila gagal mengeluarkan dua kakinya yang tersangkut celah tong gas.

Kejadian tersebut yang tular dalam media sosial berlaku pukul 3 petang, pada 7 Disember lalu hingga keluarga kanak-kanak itu terpaksa mendapatkan bantuan bomba.

Video kanak-kanak tersangkut pada tong gas tular dalam media sosial hingga menerima perhatian ramai.

Ibu kanak-kanak berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia cuba mengeluarkan anaknya hampir 10 minit namun gagal sebelum pergi ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang.

“Sebenarnya kejadian berlaku dalam kereta, tong gas itu sudah kosong dan saya mahu beli yang baharu.

“Dia duduk di tempat duduk belakang kereta bersama-sama kakaknya. Semasa kejadian kakaknya juga tidak perasan tiba-tiba dia mengadu sakit.

“Bila saya toleh ke belakang, dia sudah duduk di celah tong berkenaan dan tidak boleh keluar, saya tidak berani teruskan sebab ia tersangkut di tulang pingul dia.

“Saya risau patah kaki sebelum terus membawanya ke balai bomba, Alhamdullilah…dengan kecekapan anggota Bomba, dia berjaya dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi.

Dia mengucapkan terima kasih kepada pasukan bomba yang berusaha mengeluarkan anaknya itu.

Bomba Johor dalam satu kenyataan memberitahu, anggota BBP Pasir Gudang segera memberikan bantuan selepas ibu dan kakaknya gagal mengeluarkan kakinya.

“Proses keluarkan kanak-kanak tersebut adalah mudah.

“Rupanya kanak-kanak tersebut tidak berjaya dikeluarkan oleh keluarga mangsa kerana dia mengeraskan kaki kerana tidak mahu keluar dari tong gas terbabit.

“Namun apabila tiba di BBP Pasir Gudang, anggota bomba dapat keluarkannya selepas pujuk untuk melembutkan badan dan kaki,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kemudian kanak-kanak itu selamat dibawa pulang keluarga.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast