KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, slogan reformasi terus dicemuh apabila gagal membawa perubahan ketara dalam isu rasuah, sekali gus menimbulkan persepsi bahawa pendekatan kerajaan masa kini tidak jauh berbeza daripada pentadbiran terdahulu yang turut dikritik kerana kelemahan membanteras penyelewengan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, kritikan tersebut terkandung dalam satu kenyataan pandangan politik yang menegaskan bahawa, slogan yang pernah menarik perhatian rakyat itu kini dianggap “gendang kosong” kerana keadaan negatif negara, khususnya berkaitan rasuah, masih tidak memperlihatkan perkembangan membanggakan.
Beliau mendakwa, pendekatan sama seperti pentadbiran terdahulu menjadikan usaha pembaharuan tidak membuahkan hasil, bahkan menambah parah keadaan apabila lebih ramai pelaku rasuah muncul dengan jumlah penyelewengan yang lebih besar.
“Punca kegagalan reformasi adalah daripada sifat materialistik manusia yang tidak dikawal akal dan nilai kerohanian sehingga menyebabkan nafsu politik hanya tertumpu kepada kuasa dan harta.
“Landskap politik hari ini memperlihatkan negara diperintah oleh kelompok minoriti Melayu Islam yang ‘dimajoritikan’ melalui pembentukan kerajaan perpaduan bersama parti-parti yang didakwa menolak Islam, sehingga mengakibatkan “kegagalan lebih parah” serta menjejaskan kedaulatan dan maruah negara,” katanya menerusi Minda Presiden yang turut dimuat naik di laman Facebook beliau, hari ini.
Abdul Hadi berkata, isu tersebut turut memberi kesan ketara dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-17 yang lalu apabila parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) mengalami kekalahan besar, termasuk Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang sebelum ini mendapat sokongan kuat masyarakat Cina.
Beliau menegaskan, situasi itu digambarkan sebagai “tsunami baharu” di Sabah yang dibimbangi akan berlarutan ke Semenanjung, sekali gus memaksa beberapa parti politik melakukan muhasabah terhadap kerjasama serta strategi masing-masing menjelang pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette
















