BUTTERWORTH – Siasatan kebakaran yang meragut nyawa seorang wanita dan anak angkatnya di sebuah rumah di Taman Rathna, Telok Air Tawar di sini semalam, diteruskan hari ini dengan penggunaan dua anjing pengesan Unit K9 bagi membantu mengenal pasti punca kejadian.
Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, tumpuan pemeriksaan hari ini untuk mengenal pasti lokasi permulaan api dengan pasukan forensik serta anggota bomba turut melaksanakan pemeriksaan terperinci.
Mohamad Shoki menegaskan kehadiran unit K9 bukan petunjuk wujud unsur khianat, sebaliknya sebahagian ketetapan dalam setiap siasatan kebakaran.
“Dua ekor anjing pengesan dari baka English Springer Spaniel, Woddy dan Sam, digerakkan ke lokasi bermula jam 10 pagi sebagai sebahagian daripada prosedur siasatan forensik kebakaran.
“Anjing-anjing ini ada fokus setiap kali operasi dan ia akan diturunkan secara pasangan. Seekor akan mencari unsur (punca) dan satu lagi untuk pengesahan.
“Bukan setiap kebakaran itu, apabila kita panggil unit K9 akan ada unsur sengaja dibakar. Tidak. Ia adalah ketetapan kami untuk memastikan bahawa unit ini dipanggil untuk melihat kepada segala kemungkinan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai punca kebakaran, Mohamad Shoki menegaskan sebarang punca hanya diketahui selepas ujian makmal dilakukan iaitu selepas proses siasatan di lokasi kejadian selesai.
“Sebarang punca hanya diketahui selepas ujian makmal dilakukan iaitu selepas proses siasatan di lokasi kejadian selesai,” katanya.
Media semalam melaporkan, seorang wanita dan anak angkatnya ditemui rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran membabitkan kediaman berkembar kelas A dengan kemusnahan dianggarkan 85 peratus.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, selain dua mangsa yang maut, seorang lelaki turut ditemui pada jam 10.21 pagi dalam keadaan cedera dihempap bumbung berhampiran pintu dapur.
“Mangsa, Hayani Yaakob, 50-an dan anak angkatnya, Andra, 5, ditemui rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama pada jam 10.59 pagi.
“Kebakaran berjaya dikawal jam 10.15 pagi sebelum padam sepenuhnya pada 11.21 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette
















