[GAMBAR HIASAN] Kejadian banjir dan tanah runtuh di Sumatera Barat, baru-baru ini. Foto AFP

BANGKOK – Laut yang semakin panas dan hujan lebih lebat yang dikaitkan dengan perubahan iklim digabungkan bersama geografi unik serta kerentanan Indonesia dan Sri Lanka, menghasilkan banjir maut yang meragut ratusan nyawa, menurut para saintis pada Khamis.

Dua ribut tropika mencurahkan sejumlah besar hujan ke atas kedua-dua negara itu bulan lalu, mencetuskan tanah runtuh dan banjir yang mengorbankan lebih 600 orang di Sri Lanka dan hampir 1,000 di Indonesia.

Analisis pantas terhadap dua sistem cuaca tersebut oleh sekumpulan saintis antarabangsa mendapati gabungan beberapa faktor telah mendorong bencana itu.

Faktor-faktor tersebut termasuk hujan lebih lebat dan laut yang lebih panas akibat perubahan iklim, serta corak cuaca seperti La Nina dan Indian Ocean Dipole.

Kajian itu tidak dapat mengira dengan tepat sejauh mana pengaruh perubahan iklim kerana model sedia ada tidak sepenuhnya menangkap beberapa corak cuaca bermusim dan serantau, kata para penyelidik.

Namun begitu, mereka mendapati perubahan iklim telah menyebabkan kejadian hujan lebat di kedua-dua rantau menjadi lebih kuat dalam beberapa dekad kebelakangan ini, dan suhu permukaan laut juga meningkat akibat perubahan iklim.

Lautan yang lebih panas boleh meningkatkan sistem cuaca yang menyebakan jumlah kelembapan semakin tinggi.

“Perubahan iklim sekurang-kurangnya merupakan salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan kejadian hujan ekstrem yang diperhatikan,” kata Mariam Zachariah, salah seorang penulis kajian dan penyelidik di Imperial College London.

Analisis tersebut, dikenali sebagai kajian atribusi, menggunakan metodologi yang disemak rakan sekerja untuk menilai bagaimana iklim yang lebih panas mempengaruhi pelbagai kejadian cuaca.

Para saintis mendapati kejadian hujan ekstrem di kawasan Selat Melaka antara Malaysia dan Indonesia “meningkat dianggarkan 9–50 peratus akibat kenaikan suhu global,” kata Zachariah.

“Di Sri Lanka, trendnya lebih ketara, dengan kejadian hujan lebat kini kira-kira 28–160 peratus lebih kuat akibat pemanasan yang telah kita alami,” katanya kepada pemberita.

Walaupun set data “menunjukkan julat yang luas,” tambah Zachariah, “semuanya menunjukkan arah yang sama — bahawa kejadian hujan ekstrem semakin meningkat di kedua-dua kawasan kajian.”

Para saintis berkata faktor lain turut memainkan peranan, termasuk penebangan hutan dan geografi semula jadi yang mengalirkan hujan lebat ke dataran banjir yang berpenduduk.

Kedua-dua ribut tropika itu berlaku serentak dengan musim monsun di sebahagian besar Asia, yang selalunya membawa banjir.

Namun skala bencana di kedua-dua negara itu hampir tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Hujan monsun adalah perkara biasa di bahagian dunia ini,” kata Sarah Kew, penyelidik iklim di Institut Meteorologi Diraja Belanda dan ketua penulis kajian. -AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast