Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – “Kerosakan paling besar bermula sejak dua tahun lepas apabila Dr Akmal Saleh dibiarkan meliar,” kata Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi podcastnya, semalam.

Menurut bekas Timbalan Presiden PKR itu, isu stoking, bendera terbalik serta kenyataan-kenyataan bernada perkauman telah memberi petunjuk yang sangat salah kepada pengundi Cina.

Katanya, setiap kali Ketua Pemuda UMNO itu mengeluarkan kenyataan, kerajaan Perpaduan akan mengambil masa beberapa hari sebelum dapat memberi maklum balas berhubung isu terbabit.

Manakala di pihak menteri-menteri daripada Pakatan Harapan (PH) termasuk beliau sendiri, tidak dibenarkan untuk memberi sebarang komen kerana dibimbangi menggugat kestabilan kerajaan yang turut dianggotai UMNO dan Barisan Nasional.

Jadi semuanya diserahkan kepada Perdana Menteri yang mana menurut Rafizi, nampak terlalu berhati-hati untuk menegur walaupun beliau merupakan ketua Kerajaan Perpaduan.

Rafizi Ramli

“Apa-apa pun dikira dari sudut macam mana nak jaga kedudukan Perdana Menteri. Bila macam tu, mesej yang sampai kepada pengundi ialah: jawatan lebih penting daripada prinsip.

“Bayangkan kita pengundi Cina. Tolak tepi bab cukai dan sebagainya, saya fikir mereka mesti cakap kamu tidak bela tak bela Cina langsung. Mereka juga akan fikir bagaimana seorang Perdana Menteri tidak boleh mendisplinkan budak itu,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi mendakwa, UMNO sengaja melepaskan Dr Akmal untuk ‘meliar’ bagi meraih kepercayaan akar umbi dan pengundi Melayu yang lain.

“Saya rasa itu juga strategi UMNO, pimpinan UMNO di Kabinet beritahu, mereka tidak boleh kawal Dr Akmal. Saya tidak percaya UMNO tidak boleh ambil tindakan, malah saya rasa pernah cakap kepada PM mengenai hal ini.

“(Saya percaya) mereka sengaja lepaskan Dr Akmal mengamuk di bawah tetapi depan Kabinet mereka (tidak mengaku), dan di sinilah bacaan Anwar Ibrahim yang salah,” ujar beliau lagi.

Tegas Rafizi, tindakan Anwar yang terlalu berlembut dengan UMNO kerana bimbang ia bakal menggugat kestabilan kerajaan Perpaduan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk.

Justeru menurut beliau, kerajaan ketika ini sedang membayar tindakan-tindakan yang diambil mereka sejak dua tahun lepas.

Ahli Parlimen Pandan itu berpendapat, luka kepercayaan pengundi Cina sukar untuk diubati meskipun kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk memperbaiki isu-isu lain seperti cukai, e-invois dan sebagainya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast