Datuk Ir. Razali Kassim

KUANTAN – Penyediaan bas lebih banyak dalam Program BAS.MY di Kuantan bermula 15 Disember ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat di daerah ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, pertambahan bas kepada 60 buah itu memenuhi keperluan harian pengguna.

“BAS.MY akan beroperasi dengan 16 laluan, iaitu rangkaian yang lebih luas berbanding sebelum ini bagi memastikan lebih ramai penduduk Kuantan mendapat akses kepada liputan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh.

“Selain jumlah bas yang lebih besar, kekerapan perjalanan dapat dipendekkan kepada antara 30 hingga 60 minit, sekali gus mengurangkan waktu menunggu dan meningkatkan tahap kebolehpercayaan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Syafik Fauzan (BN) dalam Sidang Dewan Negeri Ke-15, Penggal Ke-4 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini yang bertanya mengenai manfaat pelaksaan Bas.My.

Jelasnya, semua bas yang digunakan di bawah Bas.My adalah bas baharu yang dilengkapi ciri mesra OKU, termasuk ruang kerusi roda dan fasiliti akses mudah.

Selain itu, kesemua bas menggunakan enjin Euro 5 yang lebih bersih dan mesra alam.

Katanya, bas dipantau melalui aplikasi sistem GPS bagi memastikan pematuhan jadual perjalanan, ketetapan masa serta pemantauan operasi yang lebih efisien.

Melalui sistem GPS yang sama, pihak pengendali telah membangunkan aplikasi Journey Planner “JUSTNAIK” untuk kemudahan para pengguna.

Kemudahan ini katanya, bukan sahaja mengurangkan masa menunggu penumpang, malah membolehkan pengguna merancang perjalanan mereka dengan lebih teratur, efisien dan tepat pada masanya

Menurutnya, program ini turut menyediakan kad konsesi kepada golongan OKU, warga emas, pelajar sekolah dan pelajar IPT, yang membolehkan mereka menikmati tambang percuma untuk perjalanan harian.

“Inisiatif lain ialah Pas My30 disediakan pengguna umum, disediakan Kad My30, yang menawarkan perjalanan tanpa had (unlimited) dengan bayaran hanya RM30 sebulan.

“Melalui inisiatif Van Medic juga, terdapat perkhidmatan Van Medic yang boleh ditempah khas untuk mengambil penumpang terus dari rumah, khususnya mereka yang kurang upaya dan menggunakan kerusi roda,” katanya.

Jelasnya pelaksanaan perkhidmatan BAS.MY di Kuantan itu menggantikan perkhidmatan Rapid Kuantan yang tidak memohon tender pada tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast