KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda MIC Negeri Perak bimbang terhadap keselamatan data peribadi jutaan pengguna susulan pelantikan Rider Gate Sdn. Bhd. sebagai ejen kutipan bertauliah bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pemuda MIC Negeri Perak, Theeageesh Ganesan berkata, walaupun Kementerian Pengangkutan menegaskan pelantikan itu bertujuan memudahkan perkhidmatan awam melalui pendigitalan dan bukan untuk kaut untung, beberapa persoalan utama masih belum diberi penjelasan yang memuaskan.
Beliau berkata, penafian mengenai pemberian komisen kepada ejen kutipan tidak menjawab isu ‘caj nominal’ yang dikenakan kepada pengguna oleh syarikat berkenaan, yang disifatkan sebagai beban tambahan tersembunyi kepada orang ramai.
“Transaksi melalui aplikasi MyJPJ adalah percuma, namun kewujudan caj oleh ejen luar menimbulkan persoalan sama ada pelantikan ini benar-benar memberi manfaat kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan.
Theeageesh turut mempersoalkan aspek keselamatan data peribadi rakyat, khususnya apabila akses kepada maklumat berjuta-juta pengguna diberikan kepada sebuah syarikat yang hanya didaftarkan pada 2023.
Menurut beliau, tiada penjelasan terperinci berhubung langkah keselamatan siber, kawalan akses pangkalan data serta mekanisme pemantauan bagi mengelakkan penyalahgunaan maklumat peribadi pengguna.
Beliau berkata, kerajaan juga belum mengemukakan bukti atau data sokongan yang menunjukkan pelantikan ejen kutipan sedia ada, seperti MyEG, berjaya meningkatkan kecekapan atau mengurangkan kesilapan transaksi.
Kegagalan ini, sekali gus melemahkan hujah bahawa pelantikan ejen baharu akan memudahkan urusan rakyat.
Sehubungan itu, Pemuda MIC Negeri Perak menggesa kerajaan supaya mengkaji semula pelantikan ejen kutipan JPJ dengan memberi keutamaan kepada perlindungan dan keselamatan data pengguna sebelum sebarang kontrak ditawarkan kepada penyedia perkhidmatan baharu.
“Keselamatan data peribadi rakyat tidak seharusnya dipertaruhkan atas nama pendigitalan atau kemudahan perkhidmatan,” katanya. -MalaysiaGazette
















