Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Sekurang-kurangnya RM3 bilion diperlukan untuk menukar jajaran paip usang di Pahang sepanjang 15,423 kilometer yang 23 peratus adalah paip Asbestos Cement (AC) yang usang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, paip usang itu dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya paip pecah dan kehilangan air fizikal yang menyumbang kepada Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi.

“Kalau boleh, memang kita hendak tukar semuanya sekaligus tetapi kosnya sekitar RM3 bilion maka kita tetap laksanakan juga, namun secara berfasa. PAIP telah bergerak ke fasa lebih proaktif untuk mengurangkan NRW,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengulung perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada Sidang Dewan Negeri Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, PAIP telah menukar paip usang sepanjang 259.7 kilometer termasuk di kawasan Felcra Tembeling Tengah.

“Program ini kompleks dan memerlukan peruntukan sangat besar, namun kita tetap melaksanakannya secara berfasa agar kewangan PAIP kekal seimbang antara operasi harian, persediaan bekalan masa hadapan dan keberkesanan program pengurangan NRW,” ujarnya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri melalui PAIP sentiasa berusaha menurunkan kadar NRW membabitkan paip pecah, paip usang dan kehilangan air secara fizikal ke tahap yang lebih baik dan berdaya saing.

Wan Rosdy berkata, syarikat utiliti itu telah mengambil langkah penyelesaian di peringkat sumber, menstabilkan kapasiti agihan serta memastikan tekanan air mencukupi di seluruh kawasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast