KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendesak kerajaan mengenal pasti terma-terma Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dianggap Indonesia sebagai bermasalah, mengikat atau berat sebelah selain mendedahkannya kepada rakyat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata laporan berita mengenai penolakan negara itu terhadap beberapa terma perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) kerana dianggap terlalu mengikat dan berpotensi menjejaskan kepentingan serta kedaulatan Indonesia membuktikan bahawwa kebimbangan yang disuarakan pembangkang sebelum ini sebagai berasas.
“Kebimbangan ini saya telah suarakan secara tegas melalui siri kenyataan media, sidang akhbar, rapat umum dan menerusi sesi perbahasan di Parlimen. Teguran serupa juga dilaungkan ramai Ahli-Ahli Parlimen PN yang lain. Ertinya Perikatan Nasional dari awal melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan perjanjian ini.
“Namun, ketika Indonesia mengambil pendirian menilai kembali beberapa terma perjanjian, kerajaan Madani dalam kenyataan pada Rabu lalu, sebaliknya menolak desakan agar rundingan semula dilakukan dengan Amerika, walaupun jelas beberapa terma perjanjian bukan sahaja mengikat Malaysia tetapi meletakkan kedaulatan negara menjadi persoalan,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas beliau, pendirian Indonesia wajar menjadi indikator penting bagi menilai bagaimana negara-negara ASEAN melihat impak sebenar perjanjian ini.
Tambahnya, Malaysia tidak boleh hanya menerima pujian daripada Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Scott Bessent, sebagai ”good actor” tanpa memahami kos dan implikasi sebenar di sebaliknya.
Sehubungan itu beliau menuntut kerajaan menilai kembali, mengkaji implikasi, dan mempertimbangkan rundingan semula sekiranya terma-terma tersebut boleh menjejaskan ruang dasar, kedaulatan ekonomi, atau pun kepentingan industri negara pada jangka masa panjang.
“Kerajaan perlu menjelaskan secara telus kepada rakyat,apakah harga yang perlu dibayar untuk menjadi “good actor” di mata Washington seperti dilaporkan Reuters?
“Di mana letaknya keutamaan dan kepentingan negara ketika keputusan itu dibuat?,” soal beliau. -MalaysiaGazette
















