KUANTAN – Prestasi kewangan GLC Negeri Pahang bagi tempoh 2015 hingga 2024 menunjukkan pola bercampur, dengan kerugian tinggi pada awal tempoh sebelum pulih dengan mencatat keuntungan kumulatif sebanyak RM2.3 bilion.
Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peningkatan prestasi GLC kini kembali stabil hasil intervensi Kerajaan Negeri, penstrukturan semula syarikat serta pemulihan ekonomi COVID-19.
“Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang pernah merekodkan kerugian RM43 juta pada 2016 hingga 2017 kini berjaya mencatat keuntungan kumulatif RM254.7 juta antara 2018 hingga 2024 selain mengekalkan status tanpa hutang.
“Yayasan Pahang kekal kukuh dengan keuntungan RM873 juta pada tahun 2016 hingga 2024 manakala Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang ataupun PKPP mencatat keuntungan RM1.2 bilion bagi tempoh yang sama,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Hassanuddin Salim dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Manakala Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) mencatat kerugian kumulatif RM623.5 juta antara 2017 hingga 2022, namun kembali mencatat keuntungan sebanyak RM44 juta pada 2023 hingga 2024 selepas langkah pemulihan dilaksanakan.
Keuntungan PSK ini telah mengambil kira sumbangan tahunan kepada Kerajaan Negeri daripada tahun 2017 hingga 2024 sebanyak RM646.8 juta.
Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) pula mengalami kerugian besar RM618.3 juta pada 2018 hingga 2022 kini kembali mencatat keuntungan kumulatif RM269 juta dalam tempoh 2023 hingga 2024.
Menjawab pertanyaan soalan tambahan ADUN Jenderak, Datuk Rodzuan Zaaba, Wan Rosdy berkata, penubuhan beberapa anak syarikat baharu sejak 2018 telah mewujudkan hampir 6,000 peluang pekerjaan.
Katanya, ia menerusi penubuhan anak syarikat seperti Pahang Mining Corporation (PMC), Perbadanan Kemajuan Cameron Highland (PKCH), Pahang Water and Energy Resouces Sdn Bhd, Pahang Corp, PahangGo dan lain-lain. – MalaysiaGazette
















