KUALA LUMPUR – Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar kereta Perodua Bezza dari arah belakang di KM29 Lebuhraya Seremban-Port Dickson menyebabkan beliau terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar dua kenderaan lain, hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt. Maslan Udin berkata, siasatan mendapati lelaki berusia 67 tahun itu yang menunggang motosikal dari arah Seremban menuju Port Dickson itu kemudian dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Lavina yang dipandu seorang wanita berusia 32 tahun disusuli kereta Perodua Alza yang dipandu lelaki berumur 36 tahun.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan sambil menambah polis menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 6.15 pagi.
Menurut Maslan, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan cuai.
Beliau berkata, kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senawang untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, siasatan masih diteruskan termasuk mengesan saksi bebas, menunggu keputusan toksikologi serta laporan bedah siasat. – MalaysiaGazette
















