PONTIAN – Dua pekerja maut tertimbus manakala seorang terselamat dalam kejadian runtuhan kren yang mengangkat arang batu di Malakoff Power Plant, Jalan Tanjung Bin, Kukup di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazri Ahmad Shahidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 1.01 petang.
Susulan itu katanya, seramai 15 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Runtuhan kren mengangkat arang batu itu mengakibatkan tiga mangsa terperangkap di bawah runtuhan tersebut.
Tambah beliau, runtuhan itu juga menyebabkan kebakaran kecil, namun berjaya dikawal pasukan ERT Malakoff dan bomba turut membantu kerja-kerja pemadaman di kawasan loji jana kuasa itu.
“Seorang mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan sedar dan mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Daerah Pontian menggunakan EMRS BBP Pontian Baru,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd Nazri, mangsa kedua berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala mangsa ketiga yang dibawa keluar kira-kira pukul 3 petang tadi turut disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Mayat Muhammad Alfarid Ahmad,19, yang beralamat di Tanah Merah, Kelantan dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22 dari Gelang Patah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette
















