KUALA LUMPUR – Tempoh jaminan polis ke atas pengarah dan penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali Namewee disambung selama sebulan lagi bermula Khamis lalu hingga 11 Januari depan, sementara siasatan kes masih diteruskan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sambungan jaminan itu dibuat kerana pihak polis masih menunggu laporan penuh toksikologi dan penilaian berkaitan kematian pempengaruh warga Taiwan, Hsieh Yun Hsin, 33.
Menurut beliau, laporan berkenaan memerlukan tempoh masa yang panjang untuk dilengkapkan, dianggarkan sehingga tiga bulan.
“Kes ini masih dalam siasatan dan kita sedang menunggu laporan toksikologi penuh. Proses ini mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis peluncuran ‘Program Taman Angkat Aman Wanita (Amanita) PDRM di PPR Seri Alam Fasa 2, di sini, hari ini.

Fadil berkata, sepanjang tempoh menunggu laporan tersebut, status jaminan polis ke atas Namewee diteruskan seperti sedia ada.
“Buat masa ini, jaminan polis diteruskan seperti sebelum ini dan kita sedang menunggu keputusan penuh laporan berkenaan. Sekiranya laporan masih belum siap, tempoh jaminan akan disambung lagi,” ujarnya.
Beliau berkata, sebarang keputusan lanjut hanya akan dibuat selepas pihak polis menerima dan meneliti keseluruhan dapatan laporan berkenaan.
Kes kematian Hsieh Yun Hsin sebelum ini mendapat perhatian umum dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Namewee sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan bedah siasat berhubung kematian pempengaruh wanita warga Taiwan berkenaan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata pembebasan itu dibuat kerana setakat ini tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan Namewee secara langsung dengan punca kematian pempengaruh wanita warga Taiwan tersebut. -MalaysiaGazette
















