Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan setakat ini dalam insiden kebakaran melibatkan sebuah unit kondominium di tingkat 26 di Mont Kiara yang mengorbankan seorang lelaki berusia 38 tahun, Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati tiada elemen khianat atau perbuatan jenayah dikenal pasti dalam kejadian berkenaan, namun siasatan masih diteruskan.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah atau ‘foul play’ dikesan. Namun begitu, siasatan masih berjalan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis peluncuran ‘Program Taman Angkat Aman Wanita (Amanita) PDRM di PPR Seri Alam Fasa 2, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihak polis masih meneliti pelbagai aspek berkaitan kejadian termasuk faktor keselamatan bangunan.

“Berkaitan sama ada terdapat isu keselamatan bangunan atau tidak, perkara itu masih dalam siasatan. Semua data dan maklumat kejadian akan dikumpulkan serta diselaraskan sebelum sebarang kesimpulan dibuat,” ujarnya.

Fadil berkata, siasatan lanjut akan melibatkan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Mangsa kebakaran itu bekerja sebagai pelukis sambilan dan tinggal bersendirian di unit berkenaan sejak 2021.

Hasil bedah siasat yang dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati punca kematian adalah akibat melecur teruk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast