KUALA LUMPUR – Editor sebuah agensi media tempatan maut dalam kemalangan membabitkan motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, ketika kejadian pada 10.05 malam, lelaki berusia 52 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Tapah, Perak menuju ke kediamannya di Bangsar.

“Sejurus tiba di Kilometer 457.1, mangsa yang menunggang motosikal jenis Ducati hilang kawalan dan terbabas kemudian mangsa melanggar penghadang jalan dan terjatuh mengakibatkan kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shamsudin, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh.

“Mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dibedah siasat 9 pagi hari ini,” tambahnya.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka atau maklumat berkaitan boleh hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di 017- 7378704.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast