Dua maut dalam kejadian runtuhan tren yang mengangkat arang batu di Malakoff Power Plant, Jalan Tanjung Bin, Kukup, Pontian, Johor. 13 DISEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mahu siasatan rapi, telus dan menyeluruh dijalankan berhubung insiden runtuhan dan kebakaran kren di Loji Janakuasa Malakoff di Pontian, Johor semalam.

Menerusi satu kenyataan, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan khususnya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga serta agensi teknikal terlibat, mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, sebarang unsur kecuaian, kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) atau kelemahan aspek keselamatan tidak boleh dikompromi dan mesti diambil tindakan sewajarnya.

“Saya turut mengarahkan supaya pihak pengurusan loji dan kontraktor terbabit memberikan kerjasama penuh kepada siasatan serta memastikan semua SOP keselamatan, penyelenggaraan peralatan dan pengurusan risiko dipatuhi sepenuhnya bagi mengelak tragedi seumpama ini daripada berulang.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya diperlukan demi memastikan tahap keselamatan industri tenaga negara sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Fadillah berkata, keselamatan dan kebajikan pekerja dalam sektor tenaga sentiasa menjadi keutamaan kementeriannya dan setiap nyawa adalah amat berharga.

Dalam kenyataan itu, beliau turut merakamkan rasa simpati dan menzahirkan ucapan takziah terhadap dua mangsa yang terkorban dalam kejadian itu iaitu Allahyarham Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22.

“Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini. Saya juga mendoakan agar mangsa yang cedera diberikan kesembuhan sepenuhnya,” katanya.

Portal ini melaporkan, dua pekerja maut tertimbus manakala seorang terselamat dalam kejadian runtuhan kren yang mengangkat arang batu di Malakoff Power Plant, Jalan Tanjung Bin, Kukup semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazri Ahmad Shahidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 1.01 petang.

Susulan itu, katanya, seramai 15 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Runtuhan kren mengangkat arang batu itu mengakibatkan tiga mangsa terperangkap di bawah runtuhan tersebut.

Tambah beliau, runtuhan itu juga menyebabkan kebakaran kecil, namun berjaya dikawal pasukan ERT Malakoff dan bomba turut membantu kerja-kerja pemadaman di kawasan loji jana kuasa itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast