Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa.

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal warga asing maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Istana dari arah Lebuh Raya Besraya menghala ke Pusat Bandar Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 14 Disember 2025, kira-kira pukul 9.14 pagi.

Menurut siasatan awal, kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun dipercayai menukar lorong ke kanan sebelum dilanggar sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berbangsa Cina berusia 22 tahun yang sedang bergerak lurus di lorong berkenaan dan gagal mengelak.

“Hasil semakan mendapati penunggang motosikal tersebut tidak memiliki lesen memandu yang sah. Polis kini sedang mengesan pemilik sebenar motosikal berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zamzuri berkata, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta merakam percakapan pemandu kereta.

Semakan identiti dan pengesanan waris si mati juga sedang dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Sehubungan itu kata beliau, orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin di talian 019-448 2852 atau Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast