KUALA LUMPUR – Semua penyedia perkhidmatan internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia yang tertakluk kepada kerangka pelesenan di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen ASP (C) melalui pengetepian formaliti pendaftaran di bawah seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, langkah itu bagi memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.
Pendekatan itu juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
“Inisiatif ini juga bagi memastikan semua platform terlibat untuk memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Peruntukan Deeming dilaksanakan terhadap penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan termasuk WhatsApp; Telegram; Facebook; Instagram; TikTok dan YouTube dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.
Penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, dan pelaksanaan itu hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.
Tambahnya, penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global mereka seperti biasa.
Pendekatan itu sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.
“MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memperkukuh keselamatan dalam talian terutamanya kanak-kanak serta keluarga demi manfaat semua pengguna di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















