PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan buku yang mendokumentasikan pemikiran, perjuangan dan legasi aktivisme sosial Allahyarham S.M. Mohamed Idris – tokoh masyarakat sivil yang sinonim – dengan isu keadilan sosial, hak pengguna dan perlindungan alam sekitar.
Buku bertajuk The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of S. M. Mohamed Idris itu dilancarkan pada majlis di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS).
Dalam ucapannya, Anwar berkata, penerbitan buku tersebut bukan sekadar bertujuan mengenang pemergian allayarham yang lebih mesra dengan panggilan Uncle Idris sebaliknya untuk menghidupkan semula nilai dan semangat perjuangan ditinggalkan oleh tokoh berkenaan.
“Bukan untuk menguburkan abu orang yang telah pergi tetapi untuk menyalakan kembali api perjuangannya,” ujarnya.
Anwar menyifatkan allahyarham sebagai seorang pemikir yang tegas dan berprinsip namun sentiasa berakar pada nilai kemanusiaan serta keadilan sosial.
“Pandangan beliau keras, tetapi tidak sinis. Ketegasan itu lahir daripada kejujuran dan keprihatinan mendalam terhadap keadilan sosial, alam sekitar dan nasib golongan terpinggir,” ucapnya.
Anwar berkata, beliau menulis kata pengantar buku berkenaan bukan sekadar sebagai Perdana Menteri tetapi sebagai seorang sahabat lama yang mengenali allahyarham sejak awal termasuk melalui perbezaan pandangan dan perdebatan yang berlaku dalam kerangka saling menghormati.
Tambahnya, Uncle Idris konsisten menolak konsep pembangunan yang tidak berteraskan nilai serta menegaskan bahawa kemajuan tidak bermakna jika jurang kaya dan miskin terus melebar.
“Bagi beliau, tidak ada pembangunan tanpa nilai dan tidak ada keadilan jika kekayaan hanya berlegar dalam kalangan segelintir,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyentuh peranan allahyarham semasa hidup sebagai aktivis sosial yang memilih untuk terus memperjuangkan isu hak pengguna, alam sekitar dan golongan terpinggir walaupun tidak terlibat dalam politik arus perdana.
“Beliau tidak pernah meninggalkan perjuangan, sebaliknya memperkukuh peranan sebagai aktivis sosial,” katanya.
Untuk makluman, buku itu disunting oleh Claude Alvares, Shahridan Faiez dan Lim Jee Yuan serta menghimpunkan 21 bab hasil penulisan 20 penulis yang pernah berinteraksi, dibimbing atau dipengaruhi pemikiran Uncle Idris.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Pengerusi IAIS, Prof Dr Maszlee Malik selain pelajar, aktivis sosial, pegawai kanan kerajaan, diplomat, pemimpin masyarakat sivil dan ahli akademik.
Allahyarham S.M. Mohamed Idris yang meninggal dunia pada 2019 merupakan pengasas bersama dan Presiden lama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) serta Sahabat Alam Malaysia (SAM), selain pengasas Third World Network (TWN) yang ditubuhkan pada 1984. – MalaysiaGazette
















