Bermula 15 Disember 2025, Batik Air menawarkan tujuh penerbangan mingguan bagi laluan Kuching–Kota Kinabalu dan Sandakan–Kota Kinabalu, dengan kapasiti sebanyak 1,120 tempat duduk seminggu bagi setiap laluan.

KOTA KINABALU – Batik Air melancarkan dua laluan penerbangan baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI), masing-masing menghubungkan Kota Kinabalu ke Kuching, Sarawak dan Sandakan, Sabah memperkukuh peranan Kota Kinabalu sebagai hab utama di Malaysia Timur.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pelancaran laluan baharu itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha syarikat mengukuhkan kehadiran dan rangkaian penerbangannya di Sabah dan Sarawak.

“Pembukaan laluan ini bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan dalam rantau ini, malah membuka ruang kepada lebih banyak perkembangan menarik pada masa hadapan.

“Batik Air juga akan memperkenalkan penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Singapura mulai Februari tahun depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Chandran, inisiatif tersebut selari dengan sokongan Batik Air terhadap Visit Malaysia Year 2026 serta komitmen syarikat untuk menghubungkan komuniti dan merancakkan sektor pelancongan di Sabah dan kawasan sekitarnya.

Penerbangan sulung laluan Kuching–Kota Kinabalu disambut dengan majlis ringkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu termasuk penyampaian kalungan manik tempatan kepada penumpang oleh Lembaga Pelancongan Sabah sebagai simbol sambutan mesra dan warisan budaya negeri itu.

Bermula 15 Disember 2025, Batik Air menawarkan tujuh penerbangan mingguan bagi laluan Kuching–Kota Kinabalu dan Sandakan–Kota Kinabalu, dengan kapasiti sebanyak 1,120 tempat duduk seminggu bagi setiap laluan.

Pelancaran di Kota Kinabalu itu turut menjadi sebahagian daripada pengembangan rangkaian Batik Air yang lebih luas, termasuk pembukaan laluan antarabangsa baharu seperti Tashkent, Uzbekistan–Langkawi dan Kansai, Osaka–Kuala Lumpur. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast