KUALA LUMPUR – Tindakan mengekalkan pembekuan dan sitaan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas tamat tempoh sah undang-undang tanpa pertuduhan dan tanpa perintah mahkamah yang baharu disifatkan sebagai satu bentuk kezaliman dan penindasan.
Malah, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz turut menilai tindakan itu sebagai penyalahgunaan kuasa yang bercanggah dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan keadilan asasi.
Dakwanya, sehingga kini, tiada sebarang pertuduhan jenayah dikenakan terhadap Bersatu sebagai sebuah pertubuhan namun akaun parti itu masih terus disekat tanpa asas undang-undang yang sah dan berterusan.
Sedangkan Seksyen 44(5) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dengan jelas memperuntukkan bahawa perintah pembekuan akan luput selepas tempoh 90 hari daripada tarikh perintah sekiranya individu atau entiti yang dikenakan perintah tersebut tidak didakwa atas apa-apa kesalahan di bawah AMLA atau kesalahan pembiayaan keganasan.
“Dalam hal ini, pengekalan pembekuan dan sitaan akaun Bersatu melebihi tempoh yang dibenarkan undang-undang, tanpa pertuduhan dan tanpa perintah mahkamah yang baharu, tidak boleh dianggap sebagai tindakan siasatan yang sah, sebaliknya telah bertukar menjadi hukuman awal tanpa perbicaraan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan peguam Bersatu, Datuk Chetan Jethwani yang mana dua akaun bank Bersatu masih tidak dapat diakses sehingga hari ini walaupun notis penyitaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikeluarkan pada 11 April 2023 telah lama luput.
Beliau berkata, tempoh siasatan selama 12 bulan yang diperuntukkan di bawah undang-undang antipengubahan wang haram juga telah luput.
Sehubungan itu, katanya, akaun berkenaan masing-masing di AmBank dan CIMB Islamic Bank sepatutnya dipulangkan kepada parti.
Sementara itu, Tun Faisal Ismail berkata, usaha membanteras rasuah tidak boleh dan tidak seharusnya dilakukan dengan mengenepikan undang-undang itu sendiri.
Apatah lagi dengan menjejaskan hak sesebuah parti politik untuk berfungsi dalam sistem demokrasi, sekali gus merupakan suatu bentuk penyalahgunaan kuasa dan proses undang-undang.
“Prinsip kedaulatan undang-undang, proses wajar (due process) dan keadilan mesti dipertahankan.
“Pada waktu yang sama kita tidak boleh sekali-kali berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, penindasan dan kezaliman,” katanya. – MalaysiaGazette
















