Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kenyataan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding solo dan kesediaan DAP kononnya sedia meninggalkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) adalah strategi menyelamatkan diri daripada `rumah yang sedang terbakar’.

Sedangkan, dakwanya, rancangan sebenarnya adalah bergabung semula (regroup) pasca PRU-16 untuk meneruskan kerajaan Madani pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, ujarnya, Pas dan Perikatan Nasional (PN) tetap percaya era politik solo dan politik ego sudah berlalu dan tidak lagi mempunyai tempat.

Malah, kata beliau, Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah yang lalu telah mengajar betapa politik hari ini menuntut kepada kerjasama(taawun) dan ujud bersama (taayush).

“Bagi yang nak bergerak solo dan percubaan menyelamatkan diri itu, silakan. Itu kepandaian politik masing masing,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Sehubungan itu, tambah Annuar, Pas dan PN akan terus menelurusi politik muafakat dan ia bermula dengan muafakat Melayu dan pribumi sebagai teras.

Ujar beliau, muafakat Melayu dan pribumi itu mesti diwujudkan dalam konteks menjadi asas kepada muafakat pelbagai kaum yang lebih besar dan bersandarkan sepenuhnya kepada semangat asal Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Alhamdulillah muafakat ini sudah mula terbentuk dan kini sedang membesar secara organik menjadikan satu gabungan payung besar (GPB) satu realiti…insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mana parti itu akan bertanding secara solo menggunakan lambang dacing, tanpa menggunakan lambang parti lain atau gabungan.

Namun, ujar Ahmad Zahid, BN tidak menolak kemungkinan kerjasama secara berunding bagi mengelakkan pertembungan serta memastikan jentera parti dapat saling membantu.

Pendekatan itu, tambah beliau, diambil secara bijaksana selaras dengan perubahan iklim politik semasa, demi mengelakkan permusuhan yang tidak perlu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. UMNO nak tanding sendiri dan tanpa kelibat MCA dan MIC baguslah.
    itu langkah berani. Apa masalahnya? Kenapa Annuar pulak yang terbakar?

Comments are closed.