KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi secara sinikal berpandangan, MIC mungkin akan berubah pendirian sekali lagi sekiranya pemimpin parti itu ada tersenarai dalam rombakan Kabinet yang dijangka diumum hari ini atau esok.
Terdahulu, kata beliau, MIC ketika ini berada di empat persimpangan berhubung keputusan sama ada mahu terus kekal atau meninggalkan Barisan Nasional (BN).
Persimpangan pertama, katanya, disebabkan permohonan untuk menyertai semula (readmission) Perikatan Nasional (PN) sudah dibuat.
Selain itu, MIC juga berada dalam persimpangan kerana Perhimpunan Agung sudah setuju sebulat suara supaya parti tersebut meninggalkan BN.
Dalam masa sama, MIC juga dalam persimpangan sama ada untuk membuat pusingan-U dengan kekal dalam BN atau menunggu peluang untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).
“Itu sebab masih teragak agak buat keputusan. Semuanya itu ikut cita rasa Presiden MIC. Besok rombakan Kabinet jangka diumum.
“Apakah MIC dalam senarai. Jika tersenarai Vigneswaran (Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran) tidak lagi ‘malam cakap lain, siang cakap lain’,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Pemuda MIC membidas kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung status keanggotaan MIC dalam gabungan itu, antaranya dengan mengingatkan parti berkenaan agar jangan ‘siang cakap lain, malam pula cakap lain’.
Ketuanya, K Arvind berkata, jika benar soalnya adalah ‘siang cakap lain, malam cakap lain’, maka cermin paling dekat yang perlu dirujuk oleh Ahmad Zahid adalah kepimpinan UMNO itu sendiri.
Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan pihaknya masih belum menerima surat daripada MIC berhubung usul parti itu untuk keluar daripada BN.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengingatkan parti komponen untuk berfikir panjang sebelum membuat keputusan meninggalkan gabungan yang telah dianggotai sejak sekian lama, apatah lagi dengan landskap politik yang sentiasa berubah. – MalaysiaGazette
















