KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, K. Arvind terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersifat emosional, tidak matang dan gagal memahami realiti politik semasa negara.
Malah, ketuanya, Muhammad Nabil Saleh turut menilai sindiran Pemuda MIC kononnya Ahmad Zahid seperti `siang cakap lain, malam buat lain’ hanya cubaan menutup kegagalan parti sendiri.
Tegasnya, keputusan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan bukan kerana mabuk kuasa tetapi kerana keberanian memikul tanggungjawab ketika negara berada di ambang ketidakstabilan.
“Jika slogan dijadikan ukuran, maka politik tidak akan ke mana. Kepimpinan diukur melalui keupayaan membuat keputusan sukar demi rakyat, bukan dengan bermain sentimen lama,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook beliau.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Pemuda MIC yang membidas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berhubung status keanggotaan parti itu antaranya dengan mengingatkan parti berkenaan supaya jangan ‘siang cakap lain, malam pula cakap lain’.
Arvind berkata, jika benar soalnya adalah ‘siang cakap lain, malam cakap lain’, maka cermin paling dekat yang perlu dirujuk oleh Ahmad Zahid adalah kepimpinan UMNO itu sendiri, merujuk kepada kerjasam dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Sementara itu, Muhammad Nabil berkata, MIC tidak wajar bercakap soal dipinggirkan sedangkan prestasi parti itu sendiri gagal meyakinkan masyarakat India dan rakyat keseluruhannya.
Ujarnya, kesetiaan bukan lesen untuk menuntut kuasa tanpa sokongan dan bukan alasan untuk mengugut keluar masuk BN mengikut emosi semasa.
Tambahnya, Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN tidak pernah meminggirkan rakan gabungan, namun gabungan politik itu bukan tempat untuk drama politik murahan.
“Jika ada pihak yang keliru arah, jangan jadikan Presiden UMNO sebagai kambing hitam,” katanya.
Tegas beliau, Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk berdiri teguh mempertahankan kepimpinan parti dan tidak akan berdiam diri apabila Presiden UMNO diserang oleh mereka yang gagal memahami erti tanggungjawab dalam politik gabungan.
“UMNO tidak mabuk kuasa. Yang mabuk hanyalah mereka yang hilang arah,” katanya. – MalaysiaGazette
















