Mohd Noor Helmy menyampaikan barangan persiapan sekolah sumbangan SWM Environment kepada 50 pelajar Sekolah Kebangsaan Duyong, Melaka hari ini.

MELAKA – Hampir 2,000 kes penipuan dalam talian direkodkan di negeri ini bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Disember lalu, melibatkan jumlah kerugian mencecah RM66 juta.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, lebih membimbangkan, statistik menunjukkan trend penipuan turut menular dalam kalangan golongan profesional.

Menurut beliau, sebanyak 1,229 tangkapan 740 pertuduhan telah difailkan dalam tempoh sama, namun angka itu masih belum mampu mengekang peningkatan kes secara menyeluruh.

“Data menunjukkan sebanyak 1,976 kes penipuan dalam talian atau ‘scam’ dengan jumlah kerugian sebanyak RM65.9 juta sekali gus mencerminkan tahap ancaman jenayah siber yang semakin serius.

“Apa yang merisaukan, mangsa kini bukan sahaja terdiri daripada orang awam tetapi turut melibatkan golongan berpendidikan dan berpendapatan tinggi termasuk doktor, peguam, pegawai bank, penjawat awam serta guru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan barangan persiapan sekolah sumbangan SWM Environment kepada 50 pelajar Sekolah Kebangsaan Duyong, di sini hari ini.

Mohd. Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong berkata, kebanyakan mangsa terperangkap secara berperingkat apabila sindiket menggunakan taktik bermula dengan jumlah bayaran kecil sebelum mempengaruhi mangsa untuk membuat pembayaran lebih besar.

Antara modus operandi yang dikenal pasti termasuk skim pelaburan palsu, penipuan cinta, tawaran hadiah percuma serta pinjaman dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

“Terdapat kes membabitkan pelajar sekolah yang menjadi mangsa penipuan sehingga mengalami kerugian ratusan ribu ringgit termasuk menggunakan wang simpanan, kad debit ibu bapa dan barang kemas milik keluarga.

“Ada mangsa bermula dengan bayaran serendah RM10 atau RM100, kemudian diprovokasi untuk membayar ribuan ringgit kononnya bagi ‘menyelamatkan’ pelaburan mereka,” katanya.

Tambah beliau, apabila mangsa terdesak, sindiket akan menawarkan pula pinjaman dalam talian atau khidmat peguam palsu sekali gus menyebabkan mangsa terus terperangkap dalam rantaian penipuan yang berpanjangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast