KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang telah diberikan kepada beliau untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) sebelum ini.

Zaliha yang tidak disenaraikan dalam rombakan Kabinet pada hari ini berkata, beliau percaya setiap keputusan yang diambil oleh Perdana Menteri dibuat dengan penuh pertimbangan, berlandaskan kepentingan negara serta keperluan untuk memastikan pentadbiran kerajaan terus stabil, berfungsi dan fokus kepada agenda reformasi yang telah digariskan.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Jabatan Wilayah Persekutuan serta agensi-agensinya atas komitmen dan kerjasama yang sangat baik sepanjang tempoh saya menerajui portfolio ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Pada pengumuman rombakan Kabinet petang tadi, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu.

Menurut Zaliha, dalam tempoh hampir dua tahun, pelbagai isu legasi yang berlarutan telah dapat ditangani secara berperingkat, termasuk usaha tegas membanteras kartel bazar yang sekian lama menekan penjaja kecil dan peniaga mikro.

Tambah beliau, melalui pelaksanaan Program Usaha Jaya Insan (PUJI), Kerajaan MADANI di Wilayah Persekutuan berjaya menoktahkan miskin tegar, sekali gus membuktikan bahawa pendekatan bersasar, bersepadu dan berteraskan data mampu membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat.

Katanya, di Wilayah Persekutuan Labuan, fokus pemerkasaan ekonomi tempatan terus digerakkan melalui inisiatif pelancongan dan kebolehhubungan, termasuk pengoperasian semula feri ekspres Labuan–Kota Kinabalu serta pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan Jambatan Labuan–Menumbok yang kini berada pada fasa pelaksanaan.

Sementara itu, Zaliha mengucapkan tahniah kepada Hannah atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu.

“Semoga beliau dapat meneruskan agenda pembangunan Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Zaliha turut mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh barisan Jemaah Menteri yang baharu dilantik.

Katanya, sebagai anggota Kerajaan Madani, beliau akan terus memberi sokongan penuh kepada agenda Madani serta dasar-dasar reformasi yang sedang dan akan dilaksanakan demi negara dan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast