KOTA TINGGI – Kira-kira 150 nelayan di kawasan Kampung Sayong Pinang di sini sudah boleh menarik nafas lega selepas Sungai Johor yang tercemar sebelum ini semakin pulih.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim berkata, kesan pencemaran di sungai itu semakin berkurangan selepas tempoh lebih sebulan.
Beliau berkata, tambahan pula, masyarakat orang asli yang juga nelayan di kawasan berhampiran mendapati tiada lagi ikan mati di sungai berkenaan.
“Selepas mendapatkan maklum balas daripada kumpulan nelayan berkaitan pemulihan sungai itu, kerajaan negeri menjalankan program pelepasan benih ikan di Jeti Kampung Orang Asli Sayong Pinang di sini semalam.
“15,000 benih ikan lampam dan ikan terbul dilepaskan di Sungai Johor dan kita akan terus mendapatkan maklum balas daripada nelayan berkaitan kesesuaian usaha itu pada masa depan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, selepas ini terdapat beberapa lagi perancangan untuk melepaskan lebih banyak benih ikan bersesuaian di sungai berkenaan.
Langkah itu ujarnya, bagi memulihkan eko sistem sungai tersebut selain membantu nelayan bagi mendapatkan lebih banyak hasil tangkapan pada masa depan.
“Kemungkinan selepas ini jenis benih ikan yang akan dilepaskan termasuk patin, jelawat dan baung,” katanya.
Pada 31 Oktober lalu, portal ini melaporkan tiga kampung terjejas akibat pencemaran termasuk Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kampung Orang Asli Pasir Intan dan Kampung Orang Asli Kempas Menang.
Pencemaran dipercayai berlaku apabila kolam cucian pasir pecah di Ulu Sungai Johor berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.
Kejadian menjejaskan aktiviti kumpulan nelayan di sepanjang Ulu Sungai Johor selain mengakibatkan gangguan bekalan air di empat daerah termasuk di Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi.
Ini juga mengakibatkan paras kekeruhan air mentah meningkat secara mendadak melebihi 7,000 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.
Keadaan berkenaan memaksa operasi di beberapa loji rawatan air dihentikan secara berperingkat termasuk loji rawatan air (LRA) Linggiu, LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA Tai Hong hingga menjejaskan 1.2 juta pengguna.
Pencemaran membabitkan sumber bekalan air di johor itu disifatkan terburuk dalam sejarah Johor.- MalaysiaGazette
















