KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang hari ini membantu perjalanan akhir seorang wanita warga emas yang meninggal dunia di Indera Mahkota untuk dikebumikan di Kuala Pahang, dekat Pekan.
Bantuan anggota bomba diperlukan selepas laluan di kawasan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dinaiki air akibat hujan lebat yang berterusan.
“Kejadian berlaku apabila kereta jenazah tidak dapat meneruskan perjalanan selepas tiba di kawasan UNIPSAS yang dinaiki air dan tidak dapat dilalui.
“Orang awam telah memohon bantuan daripada JBPM bagi memastikan urusan penghantaran jenazah dapat diteruskan dengan selamat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Operasi itu melibatkan empat orang anggota yang diketuai PBK I Hazizi Shahi.
Bomba telah menggunakan lori milik jabatan itu untuk membawa jenazah dari lokasi berkenaan ke Inderapura dan operasi tersebut berjalan lancar. – MalaysiaGazette
















