Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar akan terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta agenda Madani sebagai sebahagian daripada Kerajaan MADANI.

Menurutnya, beliau juga akan terus berkhidmat kepada agama, rakyat dan negara dalam apa jua kapasiti yang diamanahkan.

Terdahulu, beliau turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Anwar atas kepercayaan yang diberikan bagi menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum ini.

Tambahnya, sepanjang tempoh menerajui portfolio Hal Ehwal Agama, beliau telah melaksanakan Pelan Transformasi Al-Falah sebagai kerangka utama pembaharuan institusi agama.

Ujarnya, pelan itu telah memberi impak yang nyata melalui penambahbaikan tadbir urus institusi agama, penyelarasan dasar yang lebih bersepadu, peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta pemerkasaan kebajikan umat Islam secara lebih tersusun dan berfokus.

Selain itu, kata beliau, pendekatan berteraskan data dan kebertanggungjawaban turut memastikan manfaat pelaksanaan dirasai secara langsung oleh kumpulan sasar.

“Dalam menerima setiap amanah dan perubahan, saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa segala kekuasaan dan ketetapan adalah milik Allah SWT,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Dalam pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri semalam, Mohd Na’im antara tiga menteri yang digugurkan dan digantikan dengan Timbalannya, Dr Zulkifli Hasan.

Sementara itu, Mohd Na’im turut mengucapkan tahniah kepada Zulkifli atas pelantikan sebagai menteri dan mendoakan agar beliau dapat meneruskan amanah tersebut dengan sebaik-baiknya.

Beliau turut berharap Zulkifli dapat menyambung kesinambungan agenda dan inisiatif yang telah dirangka demi kepentingan agama dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast