Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid menyerahkan replika kad berjumlah RM158,400 kepada waris pendeposit Simpan SSPN Plus pada Program Ziarah Kasih Simpan SSPN di Kampung Felda Chiku 3, Gua Musang, Kelantan. Foto SADIQ SANI, 18 DISEMBER 2025

GUA MUSANG – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyantuni waris kepada seorang pendeposit Simpan SSPN Plus, Allahyarhamah Rohaya Jaafar yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, 15 Mei lalu.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, Program Ziarah Kasih Simpan SSPN itu mencerminkan keprihatinan PTPTN terhadap pendeposit dan keluarga mereka di mana penyerahan manfaat takaful diharap dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit.

Menurut beliau, penyerahan manfaat takaful dan khairat kematian itu adalah bagi memberi sedikit kelegaan kepada waris dalam meneruskan kelangsungan hidup dan berdepaan saat sukar ketika ini.

Nor Amni Faqihah Mohd Rizlan, 20, tidak mampu menahan sebak ketika ditemubual di rumahnya di Kampung Felda Chiku 3, Gua Musang, Kelantan. Foto SADIQ SANI, 18 DISEMBER 2025

“Di sebalik peranan Simpan SSPN sebagai simpanan pendidikan, perlindungan takaful yang disediakan juga merupakan satu bentuk jaminan dan sokongan kepada pendeposit serta keluarga yang ditinggalkan.

“Kami di PTPTN sentiasa komited untuk memastikan kebajikan waris pendeposit terus terpelihara,” katanya pada sesi ziarah dan penyerahan manfaat perlindungan takaful di kediaman waris Allahyarhamah di Felda Chiku 3 di sini hari ini.

Hadir sama Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Chiku 3, Ahmad Ibadullah Samsudin,  Penolong Kanan Pentadbiran, Sekolah Menengah Kebangsaan Chiku 2, Azman Husain dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Kelantan, Hamdan Razali.

Turut diadakan panggilan video secara langsung Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim bersama waris allahyarhamah semasa Program Ziarah Kasih tersebut diadakan.

Allahyarham Rohaya, 42, adalah pendeposit Simpan Simpan SSPN Plus yang telah membuka akaun untuk tiga anaknya pada 26 Disember 2024.

Nor Amni Faqihah Mohd Rizlan, 20, menyediakan minum petang kepada dua orang adiknya Mohamad Darish Haziq dan Mohamad Dayyan Harraz ketika ditemui di rumahnya di Kampung Felda Chiku 3, Gua Musang, Kelantan. Foto SADIQ SANI, 18 DISEMBER 2025

Arwah yang merupakan suri rumah membuka akaun di bawah Pakej Intan dengan komitmen sebanyak RM30 sebulan iaitu RM20 untuk simpanan dan RM10 bagi caruman takaful.

Melalui caruman takaful RM30 sebulan bagi tiga akaun itu, Rohaya sebagai pendeposit Simpan SSPN Plus telah mendapat manfaat perlindungan takaful bagi kematian akibat kemalangan sebanyak RM50,000 bagi setiap akaun.

Jumlah keseluruhan yang diterima waris arwah sebanyak RM150,000 dan khairat kematian berjumlah RM8,400 iaitu RM2,800 untuk setiap akaun.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan manfaat yang diterima oleh pendeposit adalah sebanyak RM158,400.

Rohaya meninggalkan suami, Mohd. Rizlan Riffin, 47, dan tiga cahaya iaitu Nor Amni Faqihah, 20, Mohamad Darish Haziq, 14, dan Mohamad Dayyan Harraz, 9.

Anak sulung dan bongsu arwah meninggal dunia pada 2021 dan 2022.

Mengulas lanjut, Ahmad Dasuki menambah, PTPTN mempunyai dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid menyantuni ahli keluarga Mohd Rizlan Riffin di rumahnya di Kampung Felda Chiku 3, Gua Musang, Kelantan. Foto SADIQ SANI, 18 DISEMBER 2025

Katanya, keistimewaan Simpan SSPN Prime ialah perlindungan takaful percuma secara ringgit ke ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh kepada mereka.

Selain itu jelas beliau, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan.

“Produk Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej serendah RM30 sebulan (Pakej Intan) hingga RM500 sebulan (Pakej Berlian) dengan manfaat tambahan seperti manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak maksimum lima anak, manfaat takaful penyakit kritikal, elaun kemasukan hospital, perlindungan takaful sehingga umur pendeposit 69 tahun.

“Manfaat ini tertakluk kepada pakej yang dipilih dan Syarikat Pengendali Takaful yang dipilih oleh pendeposit.

“Selain itu, pembukaan akaun Simpan SSPN Plus tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan kecuali pakej Berlian yang hanya perlu menjawab tiga soalan kesihatan.

“Pembukaan dan penambahan akaun Simpan SSPN boleh dibuat melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya.

Maklumat lanjut Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast