ADA pemimpin yang kehadirannya dirasai bukan kerana suara yang kuat, tetapi kerana ketenangan yang tidak berganjak. Dr. Zaliha Mustafa adalah antara insan yang seperti itu.
Saya mengenali beliau hampir dua dekad. Dalam tempoh itu, satu perkara tidak pernah berubah; caranya memegang amanah. Jawatan datang dan pergi, gelaran bertukar, tetapi wataknya kekal sama. Tidak berlebih. Tidak mencari sorotan. Tidak tergesa-gesa membuktikan apa-apa kepada sesiapa.
Beliau bukan pemimpin yang memenangi ruang dengan retorik sebaliknya beliau memenangi kepercayaan dengan keteguhan.
Ada sesuatu tentang keberanian Dr. Zaliha yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata biasa. Ia bukan keberanian yang meledak. Ia bukan keberanian yang menuntut tepukan.
Sebaliknya, adalah keberanian sunyi yang lahir apabila seseorang memilih untuk melakukan perkara betul walaupun tahu kesannya akan berat, menyakitkan, dan mungkin memakan diri sendiri.
Dalam dunia politik, kebanyakan keputusan dibuat dengan mencongak untung rugi kuasa. Tetapi Dr. Zaliha membuat keputusan dengan mencongak kesannya kepada manusia. Itu bezanya.
Wilayah Persekutuan bukan medan mudah. Kuala Lumpur adalah kota yang sarat dengan sejarah, kepentingan lama, rangkaian kuasa yang berakar dan sensitiviti yang tidak pernah benar-benar selesai. Isu-isu ini bukan baru. Ia diwarisi, disimpan, disapu ke bawah permaidani oleh mereka yang memilih untuk tidak mengganggu keseimbangan lama.
Tetapi Dr. Zaliha tidak dibentuk untuk menjadi pemelihara status quo.
Apabila isu Kampung Sungai Baharu, rumah ibadat di Masjid India, kartel bazar Ramadan, peniaga asing haram dan pelbagai ketirisan lama disentuh, reaksi yang datang bukan kecil. Tekanan politik, ugutan, amaran tidak rasmi semuanya hadir. Ramai akan memilih untuk berundur. Ramai yang akan berkata ‘bukan masa sekarang’.
Ada ketika saya sendiri menyebut kepadanya: “YB, tak perlu teruskan. Isu ini terlalu bahaya.”
Beliau hanya memandang tenang dan menjawab: “Saya di sini bukan untuk selamatkan diri saya. Saya di sini untuk buat perkara yang betul. Kalau niat kita betul, Allah ada.”
Itu ayat yang tidak akan keluar daripada pemimpin yang separuh percaya pada amanah.

Apabila Kuala Lumpur Strike Force ditubuhkan, ancaman datang bertubi-tubi. Ada hari-hari yang sunyi terasa berat. Tetapi saya tidak pernah melihat beliau goyah. Tidak pernah melihat beliau mempertikai keputusan sendiri demi keselesaan.
Sebagai seorang yang lebih muda dan lebih vokal, saya belajar satu perkara besar daripada beliau, kepimpinan bukan tentang siapa paling lantang, tetapi siapa paling tenang ketika tekanan memuncak. Dr. Zaliha mengajar saya mendengar adalah satu bentuk kekuatan, dan empati bukan liabiliti dalam kepimpinan ia adalah terasnya.
Cara beliau berada di Parlimen juga berbeza. Bagi sesetengah orang, Parlimen adalah gelanggang untuk mencederakan lawan. Bagi Dr. Zaliha, ia adalah institusi yang perlu dihormati. Ketika kami mencadangkan jawapan yang lebih menyerang secara politik, beliau sering menolak. “Jawab dengan fakta. Jawab dengan tanggungjawab”.
Akibatnya, sesuatu yang jarang berlaku terjadi beliau dihormati, bukan sahaja oleh kawan, tetapi oleh lawan. Saya sendiri menyaksikan ahli Parlimen pembangkang menghubungi beliau, bukan untuk berdebat, tetapi untuk mengucapkan terima kasih kerana memilih untuk tidak memalukan mereka.
Dalam dunia hari ini, itu hampir tidak masuk akal.
Tidak hairan apabila perdana menteri memilih beliau untuk Wilayah Persekutuan dalam rombakan pertama. Untuk membersihkan ruang yang sudah lama keruh, beliau perlukan seseorang yang tidak boleh dibeli, tidak mudah digoyahkan, dan tidak takut kehilangan jawatan. Dr Zaliha memenuhi semua itu.
Di Kementerian Kesihatan, prinsip itu sudah lama terpamer. Apabila berdepan dengan syarikat tembakau dan kepentingan korporat besar, beliau tidak berganjak. Pernah ditawarkan RM50 juta untuk menggugurkan dasar Generational End Game. Beliau menolak tanpa ragu dan meminta mereka keluar. Saya berada di situ. Saya menyaksikannya sendiri.
Itu bukan keberanian yang dibuat-buat. Itu keberanian yang lahir daripada nilai.
Apabila beliau dimaklumkan tidak lagi berada dalam Kabinet, reaksinya bukan kemarahan. Bukan kekecewaan. Beliau hanya tersenyum dan berkata: “Saya terima keputusan YAB.”
Tiada soal. Tiada syarat. Kemudian beliau berkata, kestabilan kerajaan lebih besar daripada kedudukan mana-mana individu. Itu bukan ayat klise. Itu keikhlasan.

Dr. Zaliha tidak pernah membina legasi dengan menuntut pengiktirafan. Tetapi masa akan melakukannya untuk beliau.
Satu lagi sisi Dr. Zaliha yang sangat saya kagumi, dan jarang dibicarakan, ialah kesetiaan serta disiplin kepartian beliau.
PKR bukan parti yang dibina atas laluan mudah. Selama lebih dua puluh enam tahun, parti ini melalui fasa-fasa paling getir perpecahan dalaman, kekalahan yang menyakitkan, pengkhianatan, serta turun naik perjalanan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menguji kesabaran dan kepercayaan setiap ahlinya. Tidak semua mampu bertahan dalam tempoh gelap itu.
Tetapi Dr Zaliha tidak pernah berganjak.
Ketika parti kuat, beliau tidak menuntut pujian. Ketika parti lemah, beliau tidak mencari jalan keluar. Beliau bekerja senyap-senyap di belakang tabir, menguatkan struktur, membina manusia, memulihkan keyakinan. Kesetiaannya tidak bersyarat, tidak bermusim, dan tidak bergantung kepada jawatan.
Kesetiaan Dr Zaliha kepada parti bukan kesetiaan yang emosional atau membuta tuli. Ia berprinsip dan berdisiplin. Beliau memahami parti politik bukan milik individu, tetapi wadah perjuangan yang perlu dipelihara walaupun ketika ia tidak menjanjikan apa-apa balasan.
Daripada beliau, saya belajar satu pelajaran penting, kesetiaan bukan tentang kedudukan atau pengiktirafan. Kesetiaan sebenar diuji ketika keadaan paling sukar, ketika tiada sorakan, ketika masa depan kelihatan kabur. Dan pada saat-saat itulah, Dr. Zaliha tetap memilih untuk kekal, bekerja, dan percaya.
Saya bangga pernah belajar di bawah bimbingannya. Bangga pernah berkhidmat di sisi beliau. Dan lebih daripada itu, bangga kerana pernah melihat dari dekat bagaimana integriti sebenar kelihatan senyap, konsisten dan tidak tunduk.
Dalam zaman yang bising dengan slogan, Dr. Zaliha memilih untuk bekerja. Dalam zaman yang ghairah mengejar kuasa, beliau memilih untuk menjaga amanah.
Dan pemimpin seperti itu, walaupun jarang adalah sebab saya masih percaya politik boleh menjadi ruang khidmat, bukan sekadar pentas.
G Sivamalar
Mantan Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)
















