KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumur (DBKL) mengeluarkan 17 kompaun di sekitar Sri Rampai menerusi Ops Anti-Litter yang dijalankan, semalam.
Menurut DBKL, enam kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1)(d) kerana meletakkan barang-barang berkaitan perniagaan di tempat awam.
Selain itu katanya, lima kompaun lagi dikenakan di bawah Seksyen 47(1)(a) kerana membuang sampah di kawasan awam serta enam kompaun di bawah Seksyen 47(1)(d) disebabkan membuang sisa kotoran ke dalam longkang awam.
Selain tindakan penguatkuasaan, petugas DBKL turut memberikan teguran dan nasihat secara berhemah kepada peniaga serta orang awam supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan sekitar, tidak menghalang longkang dan siar kaki awam serta membuang sampah dan puntung rokok ke dalam tong yang telah disediakan, katanya menerusi kenyataan.
DBKL berkata, Ops Anti-Litter dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memastikan kebersihan dan kesejahteraan persekitaran bandar sentiasa terpelihara.
“DBKL menyeru kerjasama semua pihak agar bersama-sama memelihara kebersihan bandar demi mewujudkan Kuala Lumpur yang bersih, indah dan selesa untuk kesejahteraan warga kota,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















