Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) mencuba makanan burger yang sedia dimakan (RTE), Aris Burger sambil diiringi Pengerusi Eksekutif Arisprop Capital Berhad, Datuk Haris Embong (kanan) pada Ekspo HIPEX di Kompleks Usahawan MARA, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 19 DISEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Aris Burger melakar langkah baharu dalam industri makanan halal tempatan apabila melancarkan produk Ready-To-Eat (RTE) Aris Burger.

Ia sekali gus membuka peluang untuk jenama Bumiputera itu menembusi pasaran antarabangsa susulan permintaan yang semakin meningkat.

Pengasas Aris Burger, Datuk Haris Embong berkata, setakat ini, syarikat itu telah memperkenalkan empat varian produk RTE yang baru sahaja dilancarkan namun menerima sambutan memberangsangkan termasuk daripada rangkaian pasar raya utama dan kedai serbaneka.

“Buat masa ini, kita melihat Malaysia masih belum mempunyai banyak produk RTE seumpama ini. Alhamdulillah, walaupun baru dilancarkan, permintaan sangat ketara bukan sahaja di pasaran tempatan malah dari Indonesia, Timur Tengah dan Eropah,” katanya.

Menurut beliau, produk RTE Aris Burger telah berjaya memasuki pasar raya terkemuka di Indonesia selain menerima minat dari luar negara, namun pihak pengurusan kini sedang menilai pasaran yang perlu diterokai terlebih dahulu secara berperingkat.

 

Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki melancarkan produk sedia dimakan (RTE), Aris Burger sambil diiringi Pengerusi Eksekutif Arisprop Capital Berhad, Datuk Haris Embong (kanan) pada Ekspo HIPEX di Kompleks Usahawan MARA, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 19 DISEMBER 2025.

Katanya, pembangunan RTE Aris Burger melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang teliti bersama institusi pendidikan, dengan penekanan kepada formulasi produk agar mampu bersaing di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Selain kualiti, kami mengekalkan ciri patty daging yang tebal, tinggi protein serta menawarkan harga yang kompetitif berbanding produk luar negara.

“Saya yakin produk ini berpotensi pergi jauh dan membawa nama Malaysia sebagai hab halal dunia,” jelasnya.

Haris berkata, idea penghasilan RTE Aris Burger tercetus hasil analisis pasaran yang mendapati pemain tempatan bagi produk seumpamanya masih terhad sedangkan permintaan pengguna semakin meningkat seiring gaya hidup moden yang menuntut makanan mudah, cepat dan berkualiti.

Beliau turut memaklumkan, Aris Burger yang telah mengeluarkan patty sejak 2018 kini hanya mampu menghasilkan kira-kira 150,000 unit burger RTE sebulan namun kapasiti itu dijangka meningkat apabila sebuah kilang baharu siap sepenuhnya selepas kerja-kerja renovasi yang dirancang bermula Januari dan dijangka siap sekitar April selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Buat masa terdekat, fokus kami adalah memenuhi pasaran domestik sebelum memperluaskan eksport ke luar negara,” katanya.

Daripada segi pensijilan, beliau berkata, produk RTE Aris Burger telah memperoleh pensijilan halal serta kelulusan berkaitan keselamatan dan kesihatan makanan, menjadikannya produk yang diyakini pengguna.

Menurutnya, harga runcit yang ditawarkan juga kekal mampu milik iaitu sekitar RM7.90 selain promosi bulanan yang menjadikan harga lebih rendah berbanding produk seumpama dari luar negara.

“Kami mahu menawarkan produk bermutu dengan harga yang kompetitif supaya dapat dinikmati semua lapisan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, majlis pelancaran rasmi RTE Aris Burger telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bertempat di Kompleks Usahawan MARA, Batu Muda.

Pelancaran ini menandakan satu lagi pencapaian strategik Aris Burger dalam memperluaskan penawaran makanan halal siap dimakan sejajar dengan perubahan gaya hidup masyarakat dan aspirasi Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan sebagai hab halal global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast