Peguam, Siti Zabedah Kasim

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan kerajaan bertanggungjawab membayar keseluruhan RM274,375 kepada peguam dan aktivis sosial, Siti Kasim serta anak guamnya, Anis Nur Izzatty Ruslan berhubung serbuan polis tanpa kuasa undang-undang dan penahanan salah yang berlaku tujuh tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohammed Apandi dalam penghakimannya menegaskan, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masuk kediaman Siti pada 21 Jun 2018 tanpa sebarang usaha menghubungi penghuni terlebih dahulu merupakan satu pencerobohan yang jelas melanggar undang-undang.

Mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi am sebanyak RM120,625 kepada Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim dan RM53,750 kepada Anis selain ganti rugi teladan berjumlah RM100,000 serta kos RM50,000.

Dalam penghakiman bertulisnya, Arziah menyatakan fakta kes tidak dipertikaikan apabila seorang pegawai polis yang terlibat mengakui tidak membaca laporan polis berkaitan sebelum serbuan dijalankan yang jelas menunjukkan kegagalan asas dalam pelaksanaan tugas.

“Sebarang kemasukan ke premis persendirian tanpa kebenaran atau kuasa undang-undang adalah satu pencerobohan. Tindakan defendan mencerminkan kecuaian serius serta pengabaian hak perlembagaan plaintif,” katanya pada prosiding hari ini.

Mahkamah turut mengambil kira kejadian susulan dua hari kemudian apabila Siti ditahan ketika menjalankan tugas profesionalnya walaupun polis didapati tidak mempunyai alasan munasabah untuk berbuat demikian.

Saman itu difailkan pada 29 Januari 2021 dengan menamakan 30 defendan, termasuk 22 pegawai polis, selain bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat, bekas Pengarah Hospital Kajang Dr Md Fikri Abu Bakar, Hospital Kajang, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kesihatan dan kerajaan.

Pada prosiding hari ini, kerajaan dan defendan lain diwakili Peguam Persekutuan Anis Najwa Nazari manakala Surendra Ananth mewakili Siti dan Anis.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anis berada di rumah Siti untuk mendapatkan perlindungan akibat masalah keluarga ketika serbuan berlaku manakala Siti pula berada di luar negara menghadiri persidangan.

Plaintif mendakwa sembilan anggota polis berpakaian preman memecahkan gril dan pintu utama sebelum memasuki rumah berkenaan lalu membawa Anis yang bersembunyi di bilik air ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang tanpa asas undang-undang.

Pada 23 Jun 2018, Siti hadir ke IPD Kajang selepas mengetahui anak guamnya ditahan namun mendakwa beliau tidak dibenarkan bertemu Anis sebelum dirinya sendiri ditahan lewat malam atas dakwaan menculik dan menghalang tugas polis.

Bagaimanapun permohonan reman terhadap Siti kemudiannya ditolak oleh mahkamah majistret. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast