KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen syarikat Winborneo Leisure Tour Sdn berkuat kuasa semalam.
Bagaimanapun, MOTAC menerusi kenyataannya tidak menjelaskan secara terperinci sebab pembatalan tersebut.
Namun tindakan itu dipercayai melibatkan pelanggaran undang-undang mengenai pengusahaan pelancongan berlesen.
“MOTAC memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia Madani,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pemandu pelancong yang didapati menawarkan atau menjual pakej pelancongan tidak akan terlepas daripada tindakan tegas, termasuk pembatalan lesen.
Jelasnya, perbuatan itu boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk harga pakej pelancongan yang tidak terkawal.
Beliau berkata demikian dipercayai selepas terdapat dakwaan penularan penawaran pakej pelancongan dalam kalangan pemandu pelancong.- MalaysiaGazette
















