SABAK BERNAM – Juadah lemang dan rendang tidak dapat dipisahkan dengan orang Melayu malah menjadi menu wajib di setiap rumah setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha di negara ini.
Bagaimanapun makanan tradisi orang Melayu ini tidak lagi dinikmati hanya pada musim perayaan sahaja, bahkan kini ramai pengusaha menjual lemang dan pelbagai jenis rendang sepanjang masa di merata tempat.
Jika deretan gerai lemang dan rendang yang terletak berdekatan Zoo Negara di ibu negara sangat terkenal dalam kalangan warga kota, kini juadah sama boleh didapati dan dinikmati penduduk di kawasan anjung utara Selangor.

Lemang Sekinchan yang terletak bersebelahan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini, antara tarikan dan tempat makan baharu yang mula beroperasi sepenuhnya, pada Jumaat.

Pengusaha Lemang Sekinchan, Mohd Jinal Pangat atau lebih dikenali sebagai Wak Jenal, 63, dia yang berdarah Jawa-Melayu itu menawarkan masakan lemang serta rendang ayam, daging, rusa dan itik yang diwarisi sejak turun-temurun.
“Keenakan lemang tradisi yang saya warisi daripada keluarga lebih 30 tahun menggunakan beras pulut, santan asli, daun pisang hutan dan buluh.
“Selain mengekalkan penyediaan makanan secara tradisional, saya juga menghasilkan pelbagai jenis rendang yang reneh hampir enam jam untuk memastikan daging betul-betul lembut dikunyah.
“Masak rendang daging memang memerlukan masa yang agak lama, nak pastikan daging empuk dan menjaga kualiti supaya tidak hangit,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di premis Lemang Sekinchan di Jalan Tali Air 7, Sekinchan, di sini, hari ini.

Jinal juga berkata, juadah tradisi ini bukan sahaja mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan penduduk setempat, bahkan didatangi sekumpulan pengunjung dari Muar Johor dengan menaiki bas persiaran.
“Juadah lemang yang kita sediakan hampir 300 batang habis terjual sepenuhnya hanya dalam tempoh dua jam sahaja, dari jam 4 petang hingga 6 petang.
“Dengan sambutan yang menggalakkan ini, saya yakin lemang dan rendang ini boleh dijual di kawasan utara Selangor dan mendapat permintaan dalam kalangan pengguna Lebuhraya WCE tanpa mengira musim perayaan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai harga pula, Jinal berkata, lemang yang ditawarkan pada harga mampu milik serta dijual tidak lebih RM20 setiap batang dan bergantung mengikut saiz.
“Setiap hidangan bagi seorang makan dianggarkan bawah RM20, malah boleh dinikmati dua orang bagi setiap bekas kerana saiz makanan agak besar.
“Kita juga menyediakan nasi himpit bagi sesiapa yang tidak berminat dengan makanan berasas pulut, malah mungkin akan datang kita akan hasilkan ketupat Insya-Allah,” katanya.
Sementara, tinjauan MalaysiaGazette mendapati, kira-kira 500 pengunjung menyerbu ke premis Lemang Sekinchan untuk menikmati juadah tradisi itu yang mula dijual setiap hari, bermula Jumaat.

Menurut Muhammad Bakri Masturi, 60 dari Sungai Besar, tidak dinafikan perusahaan lemang wujud di kawasan Sekinchan, bagaimanapun ia dijual hanya pada musim perayaan sahaja.
“Menariknya di Lemang Sekinchan, juadah tradisi akan dihasilkan dan dijual setiap masa, sekaligus dapat meningkat taraf ekonomi penduduk setempat dan memberi impak ekonomi khususnya dalam kalangan pengguna Lebuhraya WCE,” katanya.

Bagi Jamakeiah Bain, 56, dari Sungai Besar, lokasi Lemang Sekinchan yang terletak di jalan utama Lebuhraya WCE memudahkan pengguna jalan raya untuk berhenti berehat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
“Lemang dan rendang sedap, saya rasa Insya-Allah Lemang Sekinchan boleh pergi jauh sebab lemang ini makanan utama orang kampung, satu Malaysia pun minta lemang,
“Sekarang mudah nak jumpa (lemang), bukan musim raya pun senang nak cari lemang, malah mengembalikan nostalgia Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Selain itu, Nurhidayah Mohd Darunai, 34 dari Sungai Nibong, Sekinchan pula berkata, Lemang Sekinchan kini menjadi tarikan baharu bagi peminat lemang yang ketika ini tertumpu di Bentong Pahang dan Zoo Negara.
“Ia boleh jadi tarikan baharu untuk pengunjung di Sekinchan untuk orang yang lalu di WCE untuk singgah ke Sekinchan dan cuba Lemang Sekinchan.
“Kalau tak tahu nak bawa buah tangan apa balik kampung, boleh singgah beli Lemang Sekinchan, Insya-Allah sedap rasanya dan menepati citarasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















