JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor melakukan pertemuan dengan Pas Johor bertujuan membina persefahaman dan bertukar pandangan secara matang serta berhemah.

Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, ia melibatkan pelbagai isu berkaitan kepentingan umat Islam, kebajikan rakyat serta masa depan Johor.

Pertemuan itu diadakan dalam suasana penuh harmoni, tertib dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Pejuang Johor berpandangan bahawa pendekatan politik yang matang, sejahtera dan berpaksikan nilai akhlak amat penting dalam memastikan kestabilan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan latar belakang di negeri ini.

“Justeru, budaya dialog, keterbukaan dan sikap saling menghormati perlu terus diperkasakan sebagai asas kepada politik yang berprinsip dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suraya berkata, melalui pertemuan pertama itu Pejuang Johor melihat potensi untuk meneroka titik-titik persamaan, membina kepercayaan serta mengukuhkan hubungan demi maslahat yang lebih besar.

Jelas beliau, pertemuan itu akan menjadi langkah permulaan ke arah membina jambatan persefahaman serta memperkukuh hubungan silaturahim.

“Semoga segala usaha dan ikhtiar ini mendapat keberkatan serta petunjuk daripada Allah dan menjadi asbab kepada kebaikan yang berpanjangan untuk seluruh rakyat,” ujarnya – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast