KUALA LUMPUR – DAP Melaka wajar menghentikan sikap mencampuri urusan hal ehwal Islam dengan mempersoalkan tindakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berhubung saranan agar hotel dan premis yang memiliki pensijilan halal tidak memasang hiasan Krismas.
Ketua Penerangan Pas Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, apa yang dilaksanakan oleh JAIM bukan tindakan sewenang-wenangnya sebaliknya berdasarkan undang-undang sedia ada yang terpakai khusus kepada orang Islam serta premis yang secara sukarela memohon dan memegang sijil halal.
“Ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negeri serta garis panduan pensijilan halal yang berada dalam bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Bilal, saranan JAIM ini adalah selaras dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia serta Akta Perihal Dagangan 2011, yang telah terpakai dan dilaksanakan dengan baik sejak sekian lama dalam mengawal selia penggunaan logo dan status halal di negara ini.
“Manual dan akta ini jelas menetapkan tanggungjawab pemegang sijil halal untuk mematuhi semua syarat termasuk aspek pengurusan, persembahan dan sensitiviti yang boleh menjejaskan persepsi serta keyakinan pengguna Muslim.
“Perlu ditegaskan bahawa hal ehwal Islam adalah urusan negeri, dan JAIM mempunyai kuasa penuh untuk mengeluarkan garis panduan demi menjaga kesucian agama serta kepentingan pengguna Muslim,” katanya lagi.
Oleh itu, Pemuda DAP tidak mempunyai asas perundangan atau moral untuk mempertikaikan saranan ini, apatah lagi menekan pihak berkuasa agama supaya mengubah pendirian mereka.
Pensijilan halal bukan satu paksaan. Ia adalah pilihan sukarela pemilik premis namun apabila sesuatu premis memilih untuk mendapatkan manfaat kepercayaan awam melalui sijil halal, maka mereka wajib mematuhi segala syarat dan garis panduan yang ditetapkan, termasuk perkara berkaitan sensitiviti agama Islam, kata Ahmad Bilal.
“Kami dengan ini mempertahankan sepenuhnya saranan yang telah dikeluarkan oleh JAIM dan menegaskan agar ia tidak ditarik balik hanya kerana tekanan politik atau kecaman pihak tertentu.
“Sebarang usaha melemahkan autoriti JAIM akan memberi isyarat buruk terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta mencetuskan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
“Justeru, kami menegaskan sekali lagi: DAP tidak perlu sibuk mencampuri urusan hal ehwal Islam di Melaka. Hormatilah undang-undang, hormatilah autoriti agama negeri, dan hormatilah hak umat Islam,” katanya. – MalaysiaGazette
















