ACEH – “Saya fikir dunia sudah kiamat, semuanya sudah selesai, sudah berakhir hidup kita”.
Itu Rostam yang Imam Surau Desa Geudumbak Aceh Utara dekat sini ketika ditemui semasa pulang daan melihat rumahnya selepas banjir besar surut pada 28 November lalu.
Menurutnya, perasaan itu tidak dapat digambarkan kerana rumah, kereta dan tanaman dan haiwan ternakan semuanya sudah hanyut dalam banjir besar yang bermula pada 26 November lalu.
Rostam menceritakan, kejadian tersebut berlaku pukul 8 pagi dan ketika itu air sudah naik ke paras lutut di rumahnya dan tiga jam kemudian sudah naik ke paras dada orang dewasa.
Bapa kepada empat anak itu menerima panggilan telefon daripada penduduk yang menyuruhnya dan penduduk desa berkenaan keluar kerana air banjir sudah semakin tinggi.
“Saya bersama-sama anak lelaki dan perempuan manakala isteri saya terpisah semasa mahu keluar menyelamatkan diri daripada banjir. Kami mula menyelamatkan diri kerana banjir sudah naik sehingga 5 meter pukul 2 pagi, kami pun panik” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 di surau desa tersebut, semalam yang dijadikan pusat perlindungan mangsa banjir dan tempat mengagihkan pelbagai bentuk bantuan.
Misi tersebut dianjurkan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Pasaraya Econsave yang bermula 18 hingga 23 Disember ini dalam usaha memberi bantuan kepada mangsa banjir terutama di Sumatera dan Aceh.
Bercerita lanjut, Rostam berkata, disebabkan tidak sempat keluar dari desa kerana arus semakin deras dan dalam, dia dan dua anaknya bersama-sama penduduk lain berteduh atas pokok kelapa sawit.
Sebahagian penduduk yang tidak sempat melarikan diri turut berlindung atas pokok kelapa sawit selain pokok lain yang tinggi selain duduk atas bumbung rumah dan surau.
“Saya bersama-sama yang lain terperangkap atas pokok kelapa sawit dua hari dua malam, tiada makan atau minum, hanya meneguk air hujan untuk menghilangkan rasa haus.
“Keadaan sangat sukar, ada orang tua, bayi dan kanak-kanak yang menangis di atas pokok. Selepas dua hari dan air surut, kami pulang ke rumah dan mendapati sudah tiada apa yang tinggal,” katanya.
Apa yang ada, katanya, hanya timbunan sisa kayu dan kayu balak settingi kira-kira empat meter yang sudah menutup jalan serta rumah penduduk.
“Kita semua sedih. Tidak tahu dari mana datang kayu-kayu yang sangat banyak. Kita terfikir macamana hidup selepas ini? Tanaman semua musnah. Sebahagian penduduk ada yang menangis, resah dan ada yang meninggal dunia,” katanya.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui MyCare menerusi CIMB bank Berhad 8602135592.- MalaysiaGazette
















